TINDAKAN sembilan orang warga tempatan termasuk dua wanita yang menjadi orang suruhan along bagi menakut-nakutkan peminjam mengundang padah apabila mereka ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, sindiket yang menerima upah daripada along ini bergiat aktif sejak Februari lalu di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Bagi setiap ugutan yang dibuat, sindiket itu akan menerima upah antara RM300 sehingga RM450 mengikut jarak rumah peminjam dan tindakan yang diambil,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Iqbaly berkata, kesemua suspek ditangkap dalam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada Isnin dan Selasa lalu.
“Berdasarkan siasatan, salah seorang tangkapan ingin membuat pinjaman daripada along.
“Namun, sebaliknya along telah menawarkan upah kepada suspek itu bagi mengugut peminjam lain,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, hari ini.
Mohd Iqbal mengatakan, mereka yang terlibat ditugaskan menampal notis, mengunci rumah dan menyimbah cat merah ke rumah peminjam jika gagal membuat bayaran.
“Sindiket ini berhubung dengan along hanya menerusi aplikasi WhatsApp bagi menerima arahan sebelum menjalankan tugas mereka.
“Bagi setiap arahan, mereka (suspek) akan merakam dan menghantar video sebagai bukti pekerjaan tersebut telah dilakukan.
“Kemudian ah long akan membuat bayaran masuk wang ke dalam akaun salah seorang ahli sindiket sebagai upah,” ujarnya.
Setakat ini menurut beliau, sindiket berkenaan terlibat dalam enam kes di sekitar Shah Alam selain turut dipercayai terlibat di daerah lain di Selangor dan Kuala Lumpur.
Kesemua suspek berusia lingkungan 21 tahun sehingga 41 tahun direman selama empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
along, gagal bayar hutang, Hutang, kunci rumah, notis, pdrm, simbah cat, ugut peminjam,
Leave a Reply