Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan menghalang beliau menghadiri majlis-majlis rasmi Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, antara majlis dimaksudkan termasuklah Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei depan.
Menerusi status dimuat naik di Facebook, Muhammad Sanusi turut meninggalkan pesanan sinis kepada pihak yang didakwa membuat keputusan itu.
“What to do (Apa nak buat)?
“If ‘you’ ‘panaih’, please don’t koyak…” katanya.
Menerusi ruang komen, beberapa pihak turut menyatakan rasa terkejut selain mempersoalkann motif tindakan Kabinet berbuat demikian.
Antara yang meninggalkan komen termasuklah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Awat lagu tu Datuk Seri! Ini koyak rabak!” katanya.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Perikatan Nasional (PN) selama ini sememangnya dikenali sebagai pemimpin pembangkang yang tidak gentar menyatakan perkara dianggapnya benar.
Antara isu yang hangat melibatkan beliau dan Perdana Menteri adalah pembinaan Kedah Aerotropolis baru-baru ini dengan Muhammad Sanusi dilihat sentiasa memiliki jawapan terhadap apa juga kenyataan Anwar berkaitan projek itu.
Selain itu Muhammad Sanusi ketika ini turut berdepan saman dari Anwar berhubung ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.
Beliau bagaimanapun dalam pembelaannya menegaskan tidak memiliki apa-apa niat jahat dan memfitnah Ahli Parlimen Tambun itu.
Leave a Reply