Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG suri rumah tidak menyangka ribut yang melanda di kawasan kediamannya di Kampung Padang Belakang Bernas dekat Yan, Kedah petang semalam, mampu ‘melipat’ sebahagian bumbung rumahnya ketika dia sibuk menyediakan hidangan berbuka puasa.
Menurut Pairus Mehat, 48, dia bagaimanapun bersyukur kerana tiada dalam kalangan ahli keluarga termasuk tiga anaknya mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
Katanya, ketika kejadian dia sedang memasak di dapur manakala tiga anaknya berada di bahagian depan rumah.
“Kira-kira pukul 5.40 petang angin dan hujan seakan datang serentak. Kejadian berlaku cukup pantas sampaikan saya yang di dapur tak sedar bahawa bumbung di depan dah ‘terlipat’ hingga menyebabkan ruang tamu ‘lopong’.
“Selain itu bumbung di dapur juga berlubang, mungkin akibat ditimpa barangan lain yang diterbangkan angin. Rumah saya basah di beberapa kawasan dan beberapa barangan seperti televisyen dan kipas tak dapat diselamatkan.
“Namun saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat dalam kejadian itu. Ini kali pertama kejadian seumpamanya berlaku dan saya memang tak pernah jangka ini akan berlaku,” katanya.
Seorang lagi penduduk di situ, Abdul Rahim Abdullah, 60 memberitahu, ketika kejadian dia dan isteri tiada di rumah kerana mengambil cucu pulang dari sekolah.
“Tiba-tiba saya menerima panggilan dari sepupu yang tinggal di depan rumah memaklumkan bumbung rumah ‘terbang’ dibawa angin. Sebaik dimaklumkan, saya dan isteri terus bergegas pulang.
“Apabila tiba di rumah, hujan sudah berhenti namun saya terkejut apabila melihat bumbung dah tak ada. Akhirnya kami dapati bumbung rumah saya dibawa angin sampai ke belakang rumah seorang jiran,” katanya.
Tambahnya, ketika ini beliau agak bimbang mengenai perancangan untuk keluarga mereka berkumpul di rumah tersebut menjelang ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Anak-anak semua dah merancang nak balik tetapi apabila berlaku begini, mungkin perancangan itu terjejas,” katanya.
Sementara itu jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, bancian awal mendapati sebanyak kira-kira 34 buah rumah didapati terjejas dalam kejadian itu di daerah Yan.
Menurutnya, setakat ini pihaknya masih dalam proses mengumpulkan maklumat dengan kalangan anggota masih berada di lapangan.
Leave a Reply