KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 terhadap pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN mengundang rasa kecewa dan kesal khususnya ibu bapa yang membayar cukai.
Memetik laporan Harian Metro, pekerja Swasta, Ayati Omar, 50 berkata keputusan itu sewajarnya dipertimbangkan semula.
Menurutnya yang sudah mencarum SSPN untuk empat anaknya sejak 2008, caruman di SSPN adalah langkah terbaik untuk mengurangkan rebat cukai.
“Saya sangat terkejut dan kecewa. Selain menyimpan, sejujurnya ia tujuan kita buka SSPN itu untuk pelepasan cukai, setiap tahun saya akan mencarum bagi setiap akaun anak, dalam masa sama dapat rebat pengurangan cukai.
“Jika SSPN, kita boleh menabung, ada faedah walaupun tidak banyak dan paling penting dapat pelepasan cukai. Pelepasan cukai menerusi caruman SSPN saya pernah dapat paling tinggi RM3,000,” katanya, hari ini.
Ayati turut meminta kerajaan supaya melihat semula pemansuhan berkenaan.
Katanya sekiranya diteruskan, kemungkinan ramai pencarum akan berhenti menabung.
“Kalau SSPN tiada pelepasan cukai, lebih baik simpan di bank lain atau pelaburan lain.
“Contoh saya, setahun kena cukai lebih RM4,000, saya tidak ambil insurans peribadi dan pembelian barangan, maknanya kita tidak dapat rebat pulangan cukai itu semula.
“Kalau tolak rebat SSPN ini, paling tidak saya dapat semula RM2,500, jadi nampak kurang pembayaran cukai,” katanya.
Sementara itu, Pekerja Swasta, Nor Shikin Md Salleh berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan itu.
“SSPN itu adalah galakan untuk rakyat menabung, pada masa sama boleh mengurangkan pembayaran cukai.
“Saya harap kerajaan timbangkan semula, janganlah sampai memansuhkan pelepasan cukai daripada SSPN.
“Mungkin ada kaedah lain yang boleh berikan situasi menang-menang kepada kami pembayar cukai,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim berkata bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.
Leave a Reply