Pas kecam insiden bakar Al-Quran di Denmark

Oleh DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab kumpulan ekstremis anti Islam berhaluan kanan Denmark Patrioterne Gar Live yang membakar naskah suci Al-Quran termasuk mempamerkan sepanduk anti Islam di hadapan bangunan Kedutaan Turkiye di Copanhagen, Denmark Jumaat lalu sebagai amat keterlaluan, ekstrem dan menghina kesucian agama Islam.

Ia adalah satu tindakan yang amat rasis dan Islamofobia yang melampau apatah lagi ia dilakukan di bulan Ramadan yang mulia ini di mana ia sememangnya akan mencetuskan lagi kemarahan umat Islam di seluruh dunia sesudah tindakan ahli politik ekstremis berhaluan kanan Sweden-Denmark Rasmus Paludan yang melakukan tindakan serupa di Stockholm, Sweden hujung Januari lalu.

Di saat umat Islam sedang menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh tawaduk dan kesyukuran dan dunia berada di ambang ketidaktentuan berikutan pelbagai konflik yang berlaku, insiden seperti ini perlu dihalang agar tidak berlaku pertembungan antara agama yang mampu membawa kepada kesan dan akibat yang amat buruk kepada keamanan sejagat dan dunia.

Kebebasan bersuara yang diamalkan Barat sewajarnya tidak dijadikan alasan untuk menghina kesucian agama Islam mahupun mana-mana agama yang lain. Adalah amat tidak wajar kepada mana-mana individu dan kumpulan dengan sewenang-wenangnya menghina agama lain terutamanya dalam bentuk provokasi seperti membakar Al Quran mahupun melukis karikatur berupa Nabi Muhammad SAW.

Dunia Islam sewajarnya mengecam tindakan biadab ini yang telah mencemarkan kesucian agama Islam tambahan lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Adalah menjadi tanggungjawab setiap individu umat Islam untuk mempertahan dan membela agama Islam yang mulia ini daripada terus dihina dan dicemarkan kesuciannya.

“Malaysia Sejahtera”

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat/ADUN Batu Buruk


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *