PERBUATAN seorang lelaki turun ke landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Taman Paramount, Petaling Jaya untuk mengambil fon telinganya yang terjatuh hanya mengundang padah apabila dia ditahan pihak berkuasa, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 9.28 pagi.
Katanya, laporan itu berkaitan tangkapan lelaki terbabit oleh Polis Bantuan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
“Kejadian berlaku pada pukul 8.09 pagi selepas penggera landasan berbunyi dan didapati terdapat seorang lelaki tempatan berada di landasan platform 1 (northbound).
“Lelaki itu dikesan mengambil earphone di landasan terbabit hingga menyebabkan tren tergendala selama tiga minit,” katanya, hari ini lapor Sinar Harian.
Mohamad Fakhrudin berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun itu kemudian ditahan kerana menceroboh landasan kereta api.
Katanya, lelaki terbabit telah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Selasa di bawah Seksyen 62 Akta Keretapi 1991.
Tegasnya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perbuatan jenayah.
Leave a Reply