Farid dakwa ada orang ketiga, Diana nafi curang

PELAKON, Farid Kamil, 42, mendedahkan keretakan rumah tangga bersama isterinya, Diana Danielle, 32, berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

Ketika ditemui media di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di Shah Alam, Farid berkata, dia mula menghidu mengenai kecurangan yang berlaku sejak tahun lalu.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah sudah memberi petunjuk dan hidayah. Saya juga sudah cuba sedaya upaya memujuk Diana atas kesalahan yang tak munasabah tapi hari ini saya dapati ada pihak ketiga yang menyokong dia dari belakang.

“Saya kalau boleh nak tegakkan undang-undang Islam dan hak sebagai seorang suami, yang mana rumah tangga diganggu. Saya rasa sangat tidak adil sebagai seorang suami. Dan bila kita menuntut jawapan daripada dia mengenai perkara itu, perpisahan yang diminta.

“Saya sayangkan keluarga saya, saya tidak pernah lagi diuji sebegini. Saya baru mengesahkan mengenai hal ini hari ini tapi saya sudah maklum dari tahun lalu. Ia bukan masalah berlarutan cuma masalah ‘terkantoi’ baru-baru ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Farid dan Diana hadir ke mahkamah bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Farid tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi membawa jambangan bunga mawar untuk Diana. Malah Farid turut membawa sebentuk cincin sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.

Diana pula hadir lebih awal pada 8.55 pagi memakai baju hitam bersama pengawal peribadi.

Mengulas lanjut, Farid berkata, dia sudah 23 hari tidak bertemu kedua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora dan akan cuba sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan mereka demi anak-anak.

“Saya harus menyelamatkan isteri dari terus diperlakukan sebegitu. Saya sayangkan anak-anak kerana tanpa isteri saya, saya tak dapat jumpa anak-anak saya.

“Saya tidak dibenarkan jumpa anak selama 23 hari dan telefon pun tidak dibenarkan. Jadi, hari ini saya cuba menyelamatkan keluarga saya walaupun saya tahu itu kesalahan orang luar,” katanya.

Ditanya adakah dia akan memfailkan nusyuz terhadap Diana, Farid menegaskan dia menyerahkan perkara itu kepada pihak mahkamah.

Sementara itu, Diana menafikan dakwaan suaminya, yang menuduhnya berlaku curang sehingga nekad untuk memfailkan perceraian.

Menurutnya, segala tuduhan yang dibuat Farid adalah fitnah semata-mata dan segala masalah yang berlaku berpunca daripada kesalahan suaminya.

“Itu semua fitnah. Masalah yang timbul adalah kesalahan dia 100 peratus. Kalau betul saya ada orang ketiga, kenapa dia nak belikan cincin kahwin saya? Kalau ‘kantoi’ kenapa nak bawa bunga?

“Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi sudah dia hilangkan selama lapan tahun, tapi baru hari ini dia nak beri semula cincin perkahwinan kami selepas lapan tahun,” katanya.

Kata Diana, kehadiran Farid membawa sebentuk cincin dan sejambak bunga bukan untuk menyelamatkan perkahwinan sebaliknya mahu menjaga maruahnya.

“Ya saya masih dengan keputusan untuk bercerai. Dia bukan cuba nak menyelamatkan rumah tangga (pemberian bunga dan cincin), tapi nak menyelamatkan air muka dia saja,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *