‘Dr M sepatutnya jadi negarawan ulung, jauhi diri dari politik’

AHLI ekonomi terkemuka Jomo Kwame Sundaram berkata, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya mengambil peranan sebagai seorang negarawan yang ulung.

Menurut Jomo, beliau menawarkan nasihat itu kepada Dr Mahathir dengan meminta bekas perdana menteri itu meninggalkan politik dalam pertemuan mereka kira-kira lapan bulan lalu.

“Saya menggesa Mahathir untuk mengambil peranan sebagai negarawan ulung untuk membantu membangunkan negara.

“Sudah tentu, seperti lazimnya, dia tolak nasihat saya dan kita tahu akibatnya,” katanya, lapor Malaysiakini.

Jomo berkata demikian pada forum dalam talian bertajuk “Malaysia’s future in a fractured world” anjuran The Oxford and Cambridge Society Malaysia di YouTube malam tadi.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Mahathir mengalami kekalahan teruk di kerusi parlimen Langkawi. Beliau hanya menduduki tempat keempat dalam pertembungan lima penjuru.

Ahli politik berusia 98 tahun itu kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi Pejuang pada 16 Dis tahun lalu.

Pejuang kemudian menamatkan kerjasamanya dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pada 14 Jan. Gabungan parti-parti Melayu itu ditubuhkan oleh Mahathir pada Ogos tahun lalu.

Berikutan itu, berlaku perpecahan dalam Pejuang apabila Mahathir – yang merupakan pengerusinya – tidak dapat bertentang mata dengan anaknya Mukhriz, presiden parti berkenaan.

Mahathir kemudian meninggalkan Pejuang dan menyertai Putra.

Pada 19 Mac, beliau mengecam Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin zalim selepas rancangannya untuk mengadakan perhimpunan pro-Melayu gagal menjadi kenyataan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *