Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG pelajar tingkatan lima meninggal dunia apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggangnya bertembung dengan kereta Proton Saga di Jalan Felda Sungai Tiang dekat Jalan Felda Sungai Tiang, Pendang hari ini.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi ketika mangsa, Muhammad Hasrul Hakimi Ibrahim, 17 dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang selepas menghantar adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.
Setibanya di lokasi kejadian katanya, motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kereta yang keluar dari simpang kiri.
“Akibat kemalangan itu, mangsa terbabas ke kanan jalan dan berlanggar pula dengan pokok serta Pejabat Felda Sungai Tiang.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu ibu mangsa, Halimaton Naimah Mat Isa, 37, memaklumkan, kemalangan itu berlaku tidak lama selepas Muhammad Hasrul menghantar dua adiknya yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.
Katanya, Muhammad Hasrul bersama dua adiknya iaitu Noor Salihatul Nabila, 12 dan Faiz Qayyum, 10, keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi.
“Saya terkejut apabila suami, Ibrahim Ahmad, 48, menerima panggilan telefon yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi.
“Kami ke lokasi kejadian namun jasad anak telah dibawa menaiki ambulans menuju ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Disebabkan itu, kami terus ke Unit Forensik HSB untuk menuntut jenazah anak,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Unit Forensik HSB, hari ini.
Difahamkan motosikal ditunggang Muhammad Hasrul bertembung dengan kereta dipandu seorang guru wanita yang mengajar di sekolah adik mangsa.
Mengulas lanjut Halimaton berkata, beliau sekeluarga amat merasai kehilangan Muhammad Hasrul yang mesra dipanggil ‘Abang Chik’.
“Sebagai anak sulung dari lima beradik, dia memang menjadi harapan keluarga. Selama ini pun jika cuti sekolah, dia rajin membantu menambah rezeki keluarga dengan menolong saya menoreh getah atau bersama ayahnya mengawal lalu lintas di kuari,” katanya.
Leave a Reply