KERAJAAN Pahang belum memutuskan sama ada akan membentangkan rang undang-undang (RUU) antilompat parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan Mei ini atau sebaliknya.
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan masih mempertimbangkan perkara itu dan pada masa sama sedia mengadakan perbincangan dengan pembangkang sebelum membuat keputusan muktamad.
“Kita sedang fikirkan sebab kalau bentang, kerajaan negeri perlu dapat sokongan dua per tiga (untuk diluluskan).
“Kerajaan (negeri) yang ada pada waktu ini tidak cukup dua per tiga.
“Kalau mereka (pembangkang) setuju, kita akan bentang, kalau tak setuju nak bentang buat apa?” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang di Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, di Kuantan, hari ini, lapor Malaysiakini.
Wan Rosdy berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan Pahang akan membawa usul dan membentangkan RUU antilompat parti pada sesi DUN akan datang.
Setakat ini hanya tujuh negeri membentangkan RUU itu di peringkat sidang DUN masing-masing dan diluluskan.
Pulau Pinang adalah negeri paling awal memperkenalkan RUU itu dan diluluskan sidang DUN negeri berkenaan pada Nov 2012.
Negeri lain yang turut meluluskan pindaan bagi mengekang tindakan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti ialah Sarawak, Perak, Kedah, Selangor, Perlis dan Kelantan.
Kerajaan Terengganu pada November tahun lalu pula memaklumkan tidak ada keperluan untuk RUU itu diperkenalkan di negeri terbabit kerana hanya ada wakil rakyat Pas dan UMNO sahaja di negeri itu.
Di peringkat persekutuan RUU antilompat parti diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 sebelum dibentangkan dan diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.
Secara keseluruhan DUN Pahang mempunyai 42 kerusi. Hasil PRU ke-15 pada November tahun lalu, buat pertama kali BN gagal memperoleh majoriti apabila memenangi 17 kerusi, sama seperti PH.
PN pula hanya memenangi lapan kerusi.
BN dan PH kemudian mencapai persetujuan untuk bekerjasama sekali gu membentuk kerajaan perpaduan.
Leave a Reply