SEORANG lelaki dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan anak berusia lima tahun yang terperangkap dalam kereta selepas terhumban ke dalam sungai di Kampung Imbahan, Putatan semalam.
Insiden berlaku pada pukul 5.30 petang apabila Lasibi Lawahidu, 40-an, terjun ke dalam sungai selepas Perodua Myvi yang dinaiki anaknya, Mushab Umair Lasibi, 5, tiba-tiba menggelongsor ke dalam sungai.
Ketua Polis Penampang, Mohd. Haris Ibrahim berkata, sebelum kejadian mangsa sedang memancing di tebing manakala anaknya berada dalam kenderaan terbabit dalam keadaan enjin dihidupkan.
“Kereta terbabit tiba-tiba bergerak sebelum jatuh ke dalam sungai, menyebabkan mangsa terus terjun untuk menyelamatkan anaknya.
“Mangsa dikatakan sempat mengeluarkan anaknya daripada kenderaan itu sebelum dibantu seorang lelaki yang kebetulan berada di situ untuk memancing.
“Ketika lelaki terbabit menyambut kanak-kanak itu, mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dipercayai tenggelam,” katanya, menurut Harian Metro.
Anak mangsa yang diselamatkan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Rony Sikawan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.53 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kota Kinabalu.
“Setakat 11 malam, mangsa masih belum ditemui,” katanya yang memaklumkan operasi akan bersambung hari ini.
Leave a Reply