permainan video suri rumah peniaga wang lesap op akaun palsu

Dua jurutera mangsa ‘scammer’ rugi lebih RM250,000

DUA jurutera di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerugian lebih RM250,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan ‘scam’ dalam dua kes berasingan pada Rabu dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kes pertama melibatkan seorang mangsa berusia 41 tahun yang ditipu oleh sindiket tawaran kerja yang tidak wujud di laman sosial Facebook.

Katanya, mangsa melihat tawaran kerja sebagai petugas kemasukan data itu sebelum menghubungi ejen syarikat terbabit yang dikenali sebagai ‘Aminah’ menerusi aplikasi WhatsApp.

Tambahnya, mangsa kemudian ‘diumpan’ sebanyak RM10 untuk setiap tugasan yang diberikan dan dijanjikan komisyen sebanyak 20 peratus apabila membuat transaksi pindahan wang seperti diarahkan.

Jelasnya, mangsa yang percaya dengan janji itu kemudian membuat pindahan wang ke tujuh akaun berbeza sehingga berjumlah RM126,000 antara 18 hingga 22 Mac lalu.

“Namun, apabila tiada sebarang komisyen dibayar seperti dijanjikan, mangsa akhirnya menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis,”katanya kepada pemberita di SPT hari ini.

Sementara itu, katanya, seorang lagi jurutera berusia 27 tahun menjadi mangsa sindiket penipuan cabutan bertuah tidak wujud yang menawarkan hadiah sebanyak RM326,000.

Ujarnya, mangsa sebelum itu menerima panggilan telefon daripada sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang memintanya membuat tekaan lagu untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.

Jelas beliau, mangsa kemudian sekali lagi dihubungi dan dimaklumkan kononnya memenangi cabutan bertuah itu, namun perlu melakukan pembayaran ke tiga akaun berbeza untuk tujuan proses pendaftaran akaun dan perpindahan wang dalam negara.

“Mangsa yang terpedaya memasukkan wang secara berperingkat sehingga berjumlah RM125,600, namun mula menyedari ditipu selepas suspek memintanya menambah sebanyak RM50,000 lagi,” katanya.

Ujar Cheng San, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan atau denda.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menerima panggilan atau berurusan dengan orang yang tidak dikenali dan membuat semakan terlebih dahulu terhadap akaun-akaun persendirian sebelum membuat apa-apa bayaran.

“Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my atau menghubungi talian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di nombor 997 untuk sebarang aduan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *