KERAJAAN digesa mengkaji semula pemberian kadar pencen hilang upaya (PHU) bekas anggota Angkatan Tentera (ATM).
Gesaan tersebut dibuat Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang merujuk kadar RM114 diterima seorang bekas veteran ATM yang kehilangan buku lali dan ke bawah kerana terkena jerangkap samar, ketika dalam perkhidmatan sebelum ini.
“Timbalan Menteri lawat dia Jumaat lepas, seorang anggota saya, berpangkat koperal dari buku lali hilang kerana jerangkap samar.
“Tahu tak berapa dia terima, RM114 sebulan selama 47 tahun sehingga sekarang. Jadi kenapa tak dapat nak kaji lagi perkara ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Cadangan Khlir itu turut mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat yang lain.
Selain itu, Khlir juga menggesa kerajaan menilai semula skim pencen bekas anggota ATM secara menyeluruh.
“Apabila kita buat penyelarasan gaji mesti buat penyelarasan pencen. Jadi kita dengar tadi sejak 1 Januari 2013 tidak ada penyelarasan pencen menyebabkan unjuran antara pencen orang yang bekerja selepas 2013 dengan sebelum 2013 amat-amat jauh.
“Sebagai contoh sarjan mejar kelas 1 yang pencen tahun 1995 terima RM600 sahaja, tapi sekarang sarjan mejar yang pencen sekarang terima RM3,500 hingga RM4,500. Jadi ada jurang yang amat besar,” katanya.
Menurutnya, veteran ATM bukan meraih simpati sebaliknya ia perkara wajib ditunaikan kerajaan.
“Saya berharap menteri dan Perdana Menteri dengar keluhan saya dan urus penyelarasan pencen secepat mungkin untuk bantu mereka sangat daif,” katanya, lapor FMT.
Leave a Reply