AHLI-ahli Parlimen disaran mendesak kerajaan untuk menangguhkan langkah pemansuhan hukuman mati mandatori penjenayah berat bagi mendapat maklum balas keluarga mangsa dan pihak-pihak berkepentingan.
Memetik laporan Harakahdaily, pemerhati politik dari UPSI Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kerajaan dijangka mengemukakan rang undang-undang untuk menghapuskan hukuman mati mandotari atas kesalahan jenayah termasuk membunuh pada 3 April ini.
Menurut beliau, hukuman mati itu hanya pilihan pada budi bicara (discretion) hakim ketika menjatuhkan hukuman sama ada hukuman mati atau penjara.
“Akta itu kalau diluluskan kelak akan meneliti kes-kes jenayah lampau yang melibatkan pembunuhan termasuk kes profil tinggi hartawan kosmetik, Sosilawati yang mati dibunuh.
“Kita menyokong terhadap kesalahan jenayah lain seperti memiliki dadah dan senjata api yang tidak melibatkan kehilangan nyawa tetapi kesalahan yang menyebabkan kematian dengan niat membunuh mesti kekal hukuman mati mandotari,” katanya di sini.
Menurut laporan media hukuman mati mandatori akan ditukar kepada penjara seumur hidup antara 30-40 tahun dan bakinya ditolak atas ‘remission’ membolehkan penjenayah dipenjara 15-20 tahun sahaja dan selepas itu akan kembali bebas.
Mengulas lanjut, Dr Zulkeflee berkata, impak perubahan hukuman tersebut memberi momentum psikologi kepada keluarga mangsa yang berdepan dengan pembunuh terbabit.
Katanya, keluarga mangsa tentunya sedih kerana kehilangan satu jiwa selama-lamanya, sebaliknya penjenayah kembali dalam komuniti yang bersifat suci dalam debu.
Malah katanya, dalam syariat Islam kesalahan membunuh hukumannya mati jika keluarga mangsa tidak bersedia memaafkan pelaku.
Oleh itu katanya pindaan tersebut tidak wajar dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil pandangan keluarga mangsa dan refrendum rakyat terhadap hukuman besar implikasi dalam keharmonian masyarakat majmuk.
“Tidak perlu beria-ria hasrat menyelamatkan pembunuh kerana kekidupan keluarga mangsa tidak terpelihara, malah mereka sepatutnya dilindungi bukan penjenayah yang dilihat menggalakkan kes pembunuhan,” tambahnya.
Leave a Reply