SOLAT Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, awal pagi tadi gempar apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman menyerang imam ketika solat Subuh.
Bagaimanapun suspek berusia lingkungan 40-an itu kemudiannya ditahan polis dalam kejadian pukul 6.18 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Ilhan Muhammad Irham, adalah pelajar Maahad Tahfiz Thurath yang menjadi imam jemputan untuk solat Subuh sempena Program Khatam Subuh 2.0 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Katanya, suspek berpakaian baju Melayu ungu dan berkain pelekat serta berseluar hitam itu menyerang mangsa dari belakang secara tiba-tiba ketika solat jemaah.
“Ketika solat memasuki rakaat kedua dengan anggaran 80 jemaah, kedengaran suara lelaki menjerit dari arah pintu masjid.
“Kira-kira seminit selepas itu ketika imam masih membaca surah, seorang lelaki dipercayai kurang siuman meluru menolak jemaah dari belakang dan terus menuju ke imam sambil cuba memukul imam dengan selipar.
“Mangsa terus mengelak, sekali gus menyebabkan solat dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Tambah beliau, pihak keselamatan masjid dan jemaah terus menghalang lelaki itu serta menahannya sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Leave a Reply