PUSAT pengajian pondok agama seperti Pusat Pendidikan Al- Barakah di Manjoi di Ipoh, menelan perbelanjaan ratusan ribu pada setiap bulan, malah meningkat pada Ramadan.
Pengasasnya yang juga penceramah bebas terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias berkata, tidak mudah untuk meneruskan kelangsungan pusat itu.
Jelasnya yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, dana bagi pengurusan pusat pendidikan berkenaan bergantung sepenuhnya kepada bayaran yang diterima pada setiap sesi ceramah di luar.
Disebabkan itu beliau sentiasa sedaya upaya untuk memenuhi sebarang jemputan ceramah walaupun adakalanya keadaan kesihatan diri beliau tidak mengizinkan.
“Jika saya tidak berceramah, tidak menyampaikan kuliah atau tidak menerima apa-apa jemputan, saya bimbang pendapatan perjalanan pusat pengajian terjejas.
“Sebab itu kadang-kadang apabila saya berasa kurang sihat, saya terpaksa juga makan ubat tahan sakit. Dan selepas saya dapat mikrofon (untuk berceramah), saya terlupa seketika tentang sakit saya.
“Bayaran ceramah atau penyampaian kuliah yang saya terima, memang saya gunakan sepenuhnya untuk membiayai Pusat Pendidikan Al Barakah,” katanya ditemui di pusat pendidikan berkenaan, lapor Astro Awani hari ini.
Jelas Ustaz Kazim, dianggarkan sebanyak RM150,000 ke RM200,000 diperlukan bagi membiayai lebih 300 pelajar tahfiz dan warga emas yang menetap di pondok pengajian dewasa serta 46 tenaga pengajar dan kakitangan.
Katanya, jumlah perbelanjaan itu meningkat hampir RM400,000 apabila tiba Ramadan bagi memenuhi peruntukan program bersahur, berbuka dan moreh yang diadakan secara percuma di pusat pendidikan itu.
Menurut beliau, walaupun Pusat Pendidikan Al Barakah turut mengadakan pelbagai inisiatif lain bagi menambah dana seperti melalui penjualan minuman, buku serta sumbangan sedekah secara atas talian, namun ia masih tidak mampu menampung keseluruhan wang perbelanjaan.
Ustaz Kazim turut berkata, masyarakat mungkin melihat beliau seolah-olah sentiasa sihat apabila berada di khalayak atau melalui rancangan di televisyen, namun hakikat sebenarnya berbeza.
“Sebab itu ada orang hairan nampak saya sekejap di Kedah, kemudian ke Melaka, patah balik ke Pulau Pinang, kemudian di Melaka lagi. Orang kata pada saya sudah tidak sihat, tetapi masih bekerja juga.
“Saya kerja (berceramah) sebab nak cari dana untuk Al Barakah. Orang mungkin tidak fikir perasaan bahawa saya tidak seronok kalau pekerja-pekerja saya tidak ada gaji, tambahan pula bulan hadapan kita hendak sambut Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ustaz Kazim berkata, cabaran yang dihadapinya itu tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk meneruskan operasi Pusat Pendidikan Al Barakah.
Beliau juga berharap legasi dan kepemimpinannya dalam mengemudi pusat pendidikan itu dapat diteruskan ahli keluarga serta terus dibantu 10 tenaga pengajar di situ.
“Saya memang berharap anak-anak saya dapat meneruskan legasi ini dengan berkorban untuk pusat pendidikan ini. Kita yang buka Al Barakah, jadi ia memang tanggungjawab kita untuk cari jalan (menambah dana) dan jangan mengeluh.
“Kalau ada orang bagi (sumbangan dana), Alhamdulillah. Kalau kerajaan bagi dana sumbangan, Alhamdulillah. Kalau tak bagi pun tidak mengapa, kerana kita yakin kita boleh cari dengan izin Allah,” ujarnya lagi.
Mengulas tentang keadaan kesihatannya, Ustaz Kazim berkata, keadaan beliau disifatkan semakin baik sejak Januari lalu, selain tidak lagi mengalami sebarang luka atau pendarahan pada bahagian kulit yang teruk seperti sebelum ini.
Leave a Reply