Oleh MOHD. AZAM MOHD. ATAN
PENULIS sebenarnya amat bimbang jika terdapat jangkaan daripada pakar ekonomi mengenai kenaikan kadar semalaman (OPR) pada bulan-bulan mendatang kerana dasar itu akan menyebabkan peminjam terpaksa mengeluarkan wang yang lebih untuk membayar hutang bank.
Seperti dilaporkan, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan OPR pada Mei dengan kadar 2.75 peratus dan jangkaan kenaikan sebanyak 25 mata asas pada bulan Julai.
Dari sudut pemahaman ekonomi, kenaikan OPR dilihat baik untuk mengukuhkan nilai ringgit dan mengurangkan inflasi, namun apa yang berlaku ketika ini tidak seiring dengan corak yang difahami itu.
Sebelum ini apabila OPR dinaikkan, harga barang akan dapat dikawal apabila permintaan berkurangan kerana kuasa beli yang sedikit berkurangan disebabkan nilai wang yang mengecil di poket pengguna.
Namun apa yang berlaku ketika ini, peningkatan OPR tidak mengubah situasi itu apabila harga barang terus melonjak, menyebabkan pengguna terus tersepit apabila perlu berhadapan dengan bayaran pinjaman bank yang meningkat dan kos sara hidup yang tinggi.
Penulis juga menerima banyak rungutan daripada orang ramai yang tertekan dengan harga bahan mentah di pasaran yang naik dengan mendadak didorong faktor tambahan seperti bulan Ramadan dan musim perayaan yang akan hadir lebih kurang sebulan lagi.
Tambah membebankan ialah harga makanan siap di gerai-gerai dan bazar Ramadan khususnya menunjukkan peningkatan ketara apabila peniaga terpaksa menaikkan hasil jualan kerana tidak mampu menanggung kenaikan bahan mentah.
Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan juga tidak membantu meringankan beban mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai kerana tidak boleh setiap hari makan di luar atau membeli makanan siap.
Jika tidak percaya, pihak kementerian yang terlibat boleh membuat tinjauan pendapat di pusat tumpuan belian seperti pasar, kedai runcit, pasar raya dan bazar Ramadan.
Rata-rata rakyat akan menyatakan bahawa tekanan kos sara hidup ketika ini amat mencabar disebabkan kesan ekonomi yang makin memuncak.
Pada pandangan penulis, setelah lebih 100 hari memerintah, kerajaan hari ini yang pernah mendakwa mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup dilihat masih gagal untuk mengemukakan satu pelan terbaik dalam meredakan kebimbangan rakyat.
Desakan pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang digantikan dengan alternatif supaya rakyat menambah hutang membuat pinjaman dan mencagar wang KWSP pula mendapat respon negatif.
Ramai pendeposit membantah cadangan itu hinggakan ia menjadi ‘backfire’ kepada kerajaan.
Usaha untuk menarik pelabur asing oleh kerajaan PH-BN juga belum menampakkan kejayaan yang boleh dibanggakan kerana setakat ini apa yang diumumkan adalah hasil usaha kerajaan terdahulu.
Oleh itu, penulis berpandangan syor bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin agar kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi sebagai cadangan yang boleh dipertimbangkan dalam keadaan untuk mempercepatkan pemulihan pendapatan rakyat.
Ini kerana dalam keadaan sekarang ini, rakyat memerlukan satu langkah yang segera dan pantas untuk mengimbangi pendapatan rakyat dan kos sara hidup yang jurangnya amat ketara sekali lebih-lebih lagi di kawasan bandar.
Penulis bimbang jika kerajaan masih tidak bergerak pantas dalam memikirkan langkah komprehensif pemulihan ekonomi, ramai yang akan terima kesan contohnya rakyat kategori M40 jatuh ke B40, manakala kumpulan terbawah B40 akan terus terhimpit.
Idea Muhyiddin itu tidak boleh diabaikan kerana beliau terbukti berjaya membawa Malaysia keluar daripada dua cabaran besar yang berlaku serentak iaitu Covid-19 yang melibatkan nyawa dan krisis ekonomi.
Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi
Leave a Reply