Pekerja Indonesia bantah undang-undang Penciptaan Pekerjaan 2020

PARTI Pekerja Indonesia mahu mencabar undang-undang Penciptaan Pekerjaan 2020 di Mahkamah Perlembagaan tidak lama lagi, bagi membantah pelaksanaan akta yang disifatkan pro majikan itu.

Pengerusinya, Said Iqbal, pada satu sidang media, turut menggesa golongan pekerja Indonesia bersedia melancarkan mogok selepas perayaan Aidilfitri pada April secara besar-besaran, seperti yang berlaku di Perancis membantah rombakan sistem persaraan.

“Kami akan menghentikan pengeluaran, akan membuat persiapan untuk melancarkan mogok selama lima hari seperti yang berlaku di Perancis,” katanya.

Parti Pekerja, yang sekarang ini tidak memiliki sebarang kerusi di Parlimen tetapi merancang untuk bertanding pada pilihan raya umum 2024 nanti, membantah kelulusan undang-undang itu.

Selasa lalu, Parlimen Indonesia meluluskan warta tergempar oleh Presiden Joko Widodo bagi mengukuhkan peraturan berhubung pelaburan dan pekerjaan dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, satu langkah yang dikatakan oleh beberapa pakar undang-undang melanggar keputusan mahkamah.

Undang-undang itu, yang menyemak lebih 70 undang-undang lain, dipuji pelabur asing kerana memperkemas peraturan perniagaan, namun dikritik kumpulan buruh dan alam sekitar sebagai terlalu pro perniagaan.

Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia, Shinta Kamdani berkata, kelulusan undang-undang itu memberi kejelasan yang penting kepada pelabur sedia ada dan yang berpotensi.

“Walaupun ada beberapa perkara yang ditimbulkan berkaitan pengambilan pekerja, kelulusan ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan jaminan undang-undang yang jelas bagi skim tertentu dan memudahkan peraturan pelaburan,” katanya, menurut Berita Harian yang memetik laporan Reuters.

Perubahan di bawah undang-undang pada 2020 itu, termasuk pemotongan faedah pemberhentian, had gaji minimum baharu dan mengeluarkan beberapa cuti berbayar mandatori, selain melonggarkan peraturan mengenai pemeriksaan alam sekitar untuk pelaburan.

Pada 2021, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kelulusan undang-undang itu cacat kerana tidak cukup perundingan awam sebelum ia diluluskan dan mengarahkan Parlimen membahaskannya semula dalam masa dua tahun.

Namun, kelulusan pada Selasa lalu itu bermakna sebahagian besar perubahannya akan dikekalkan dan beberapa perubahan kecil dibuat bagi peraturan pekerja.

Beberapa pakar undang-undang mengkritik warta itu sebagai muslihat kerajaan untuk melangkaui perintah mahkamah, namun pegawai kerajaan berkata, ia diperlukan bagi menjamin kepastian undang-undang selepas keputusan mahkamah.

Di bawah Perlembagaan Indonesia, seorang presiden sepatutnya hanya menggunakan warta seumpama itu untuk menangani kecemasan dan Parlimen sepatutnya mengundi warta itu pada sidang pertama selepas ia dikeluarkan.

Jokowi mengeluarkan warta itu pada Disember, atas alasan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan memberinya asas undang-undang untuk melaksanakan kuasa eksekutif, namun Parlimen gagal membawanya kepada pengundian lebih luas sebelum memasuki fasa rehat pada Februari.

Dua daripada sembilan parti di Parlimen menentang warta itu ketika sidang pleno, dengan anggota parti Islam pembangkang, Parti Keadilan Sejahtera, keluar dari dewan, sebelum Speaker Puan Maharani mengumumkan undian sudah diluluskan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *