INDEKS Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi di Malaysia kekal 3.7 peratus pada Februari, didorong oleh kenaikan 7.4 peratus harga di restoran dan hotel serta peningkatan 7.0 peratus harga makanan dan minuman bukan alkohol.
Namun begitu, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7 peratus berbanding Januari 2023 (4.0 peratus) sedikit sebanyak mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan harga barangan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.4 peratus); pelbagai barangan & perkhidmatan (2.5 peratus) dan kesihatan (1.8 peratus).
“Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan Api Lain serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan masing-masing merekodkan peningkatan 1.7 peratus, manakala pendidikan meningkat 1.6 peratus.
“Kedua-dua minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.4 peratus berbanding Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Uzir berkata, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan IHP merekodkan peningkatan 7.0 peratus pada bulan lalu, berbanding 6.7 peratus pada Januari.
“Daripada 230 item makanan, sebanyak 203 item atau 88.3 peratus merekodkan kenaikan harga. Komponen makanan di rumah yang menyumbang hampir 58 peratus daripada keseluruhan kumpulan makanan & minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan lebih tinggi kepada 5.8 peratus berbanding 5.1 peratus pada Januari 2023.
“Namun begitu, komponen makanan di luar rumah mencatatkan kenaikan yang lebih rendah 8.9 peratus berbanding Januari 2023 iaitu 9.3 peratus. Antara makanan di luar rumah yang mencatatkan peningkatan lebih perlahan adalah sate (9.9 peratus), nasi campur (9.1 peratus), nasi ayam (7.8 peratus) dan masakan berasaskan daging (7.3 peratus).
“Antara inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan meredakan inflasi makanan di luar rumah adalah Menu Rahmah yang diumumkan pada 31 Januari 2023,” katanya.
Beliau menambah, kenaikan komponen makan di rumah adalah didorong oleh kenaikan bagi kesemua subkumpulan makanan di rumah terutamanya oleh subkumpulan daging (9.0 peratus); beras, roti dan bijirin lain (6.7 peratus); susu, keju dan telur (6.6 peratus) serta sayur-sayuran (5.8 peratus).
Katanya, ini diikuti oleh buah-buahan (4.7 peratus); gula, jem, madu, coklat dan manisan (3.6 peratus) serta ikan & makanan laut (3.2 peratus). Manakala, subkumpulan minyak & lemak menyederhana kepada 0.6 peratus.
“Subkumpulan daging yang merangkumi ayam, daging lembu, babi, kambing, kerbau dan itik telah mencatatkan peningkatan 9.0 peratus berbanding 8.3 peratus pada Januari 2023.
“Ayam merekodkan peningkatan 8.0 peratus berbanding 6.5 peratus pada bulan sebelumnya. Purata harga ayam standard pada bulan Februari 2023 meningkat kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM9.46 pada Februari 2022 dan RM10.30 pada Januari 2023.
“Manakala, purata harga di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM9.76 sekilogram berbanding RM8.94 sekilogram pada Februari 2022 dan RM9.70 pada Januari 2023, melebihi paras harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM9.40,” katanya.
Mengulas mengenai inflasi negara lain, Mohd Uzir berkata, Zon Euro mereda kepada 8.5 peratus pada Februari 2023 daripada 8.6 peratus pada bulan sebelumnya.
“Kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) mereda kepada 6.0 peratus pada Februari 2023 berbanding Januari 2023 (6.4 peratus). Ini disumbangkan oleh peningkatan perlahan inflasi tenaga kepada 5.2 peratus dan makanan 9.5 peratus.
“Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding inflasi di Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Filipina,” katanya, lapor SatuBerita.
Leave a Reply