Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mengingatkan Lim Guan Eng supaya tidak menggunakan ugutan terhadap dirinya susulan laporan polis yang dibuat terhadap pengerusi DAP itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, Guan Eng juga perlu patuh kepada peruntukan undang-undang apabila menuduh orang lain dan bukannya melakukan ‘drama’ dan propaganda.
“Tidak perlulah Lim Guan Eng nak mengugut saya. Saya yakin apa yang saya cakapkan dan akan mempertahankan pemimpin saya yang dianiayai.
“Laporan polis Armada adalah jelas. Ia mudah dibaca dalam bahasa yang tidak rumit atau mengelirukan. Tidak seperti pembohongan yang dilakukan DAP dan PM Anwar Ibrahim. Itukah sebabnya YB Lim meloncat, menyerang dan mengugut saya?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Guan Eng sebelum ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa bekas Menteri Kewangan itu membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Armada kemudian memfailkan laporan balas terhadap Guan Eng serta Anwar kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.
Ini menyebabkan Guan Eng memberi amaran kepada Wan Fayhsal bahawa tindakan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Wan Fayhsal dalam pada itu mendakwa fitnah yang dilakukan Anwar terhadap Muhyiddin lebih ‘dasyat’ dan berniat jahat.
“Lupakah Guan Eng fitnah dasyat yang lebih besar yang dilontarkan oleh Anwar bahawa Muhyiddin selewengkan RM600 bilion, kemudian turun RM530 bilion, kemudian bertukar kepada RM92.5 bilion, kemudian jatuh merudum kepada RM4.5 bilion.
“Yang terkini dan yang cuba dipalitkan kepada Muhyiddin bukan lagi seleweng duit tapi salah guna kuasa. Jumlahnya bukan yang dituduh awal-awal dulu. Itu bukan fitnah jahat,” soalnya.
Tambahnya, orang ramai kini dapat melihat bahawak erajaan menggunakan kuasa untuk menindas pembangkang, dengan pemimpin daripada parti kerajaan galak membuat laporan polis terhadap musuh politik mereka.
“DAP dah tidur sekatil dengan UMNO jadi biarlah ‘strange bed fellows’ ini dengan asmara politik mereka.
“UMNO dan DAP akan dihukum dalam 6 pilihan raya negeri nanti. Kita tunggu dan lihat. Sementara itu janganlah main kotor,” katanya, lapor Malaysiakini.
Leave a Reply