Oleh RIZQI ZABIDI
DUA penunggang motosikal cedera setelah terbabit dalam kemalangan yang turut melibatkan dua ekor babi hutan di Jalan Pintasan Semeling dekat Sungai Petani, Kedah, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku pukul 12.35 tengah malam itu berlaku setelah dua ekor babi hutan tersebut melintas secara tiba-tiba.
Ketika itu katanya, kedua-dua motosikal tersebut dalam perjalanan dari Semeling menghala ke Bedong.
“Setibanya di lokasi kejadian, salah seorang penunggang motosikal tersebut, Muhammad Naufal Izani Abd. Mutalib, 22, tidak sempat mengelak babi hutan berkenaan yang melintas dari kanan ke kiri jalan secara tiba-tiba lalu melanggarnya.
“Selepas itu, motosikal ditunggang seorang warganegara Myanmar, Nur Alam Boshor, 35, yang datang dari belakang, terlanggar pula motosikal ditunggang Muhammad Naufal mengakibatkannya turut terbabas,” katanya.
Akibat pelanggaran itu katanya, Muhammad Naufal yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss luka di tangan manakala Nur Alam cedera di muka.
“Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk dirawat.
“Kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.
Leave a Reply