Meninggal dunia ketika sujud solat tarawih

PENGERUSI sebuah masjid di Palembang, Indonesia dilaporkan meninggal dunia ketika menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan tahun ini.

Pemergian allahyarham Purnomo Adjie, 61, semasa sedang sujud menunaikan solat berkenaan kini tular di media sosial Indonesia.

Selain itu, ramai warganet mendoakan Purnomo meninggal dalam husnul khatimah atau pengakhiran yang baik.

Menurut seorang jemaah lain, sebelum Pengerusi Masjid Jami An Nur Mata Merah itu menghembuskan nafas terakhir, dia mengadu sakit dada dan keadaannya kelihatan tidak sihat.

“Selesai imam membaca surah Al-Fatihah, tiba-tiba Purnomo jatuh perlahan-lahan dengan keadaan sujud dan semasa rakaat kedua dia tidak bangun lagi,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sebelum meninggal dunia, Purnomo sempat memberikan ucapan ringkas mengenai sambutan Ramadan dan menggesa jemaah masjid melakukan lebih banyak kebaikan berbanding sebelum ini.

Allahyarham juga sempat meminta maaf kepada semua yang datang menunaikan solat di masjid terletak di Kecamatan Sematang Borang itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *