Kutip RM240 hanya beberapa jam mengemis di bazar Ramadan

SEORANG wanita warga asing berjaya mengutip sebanyak RM240 hanya beberapa jam mengemis di tapak Bazar Ramadan Keramat Permai, Ampang, semalam.

Namun tindakan suspek berumur lingkungan 50-an itu membawa padah apabila diberkas dalam operasi yang dijalankan sepasukan anggota polis.

Modus operandi suspek mudah iaitu hanya bermodalkan bekas berwarna merah jambu sambil duduk menadah tangan meraih simpati orang ramai.

MenurutKetua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kegiatan suspek dibongkar menerusi aduan yang diberikan oleh orang awam.

“Suspek didapati meraih simpati di lokasi dengan meminta sedekah daripada orang ramai.

“Suspek kemudiannya ditahan sebelum pemeriksaan dalam beg yang disandang suspek mengandungi wang kira-kira RM240 hasil kegiatan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, pemeriksaan dijalankan turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 27(C) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *