Ramadan medan insafi diri, imarahkan masjid, titah Sultan Selangor

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam menjadikan Ramadan sebagai medan untuk menginsafi dan bermuhasabah diri.

Baginda turut menasihati umat Islam untuk menjauhi perbuatan tercela seperti mengadu domba dan menyebar fitnah.

“Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasullullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya (Riwayat al-Bukhari),” titahnya dikongsikan menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Menerusi kenyataan itu, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan selamat berpuasa dan menyambut bulan Ramadan 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat negeri Selangor.

Titah baginda, Ramadan adalah bulan terbaik untuk melipatgandakan amalan-amalan berpahala serta melakukan amal kebajikan.

Baginda turut menasihatkan Muslimin dan Muslimat supaya terus mengimarahkan masjid dan surau termasuk menunaikan ibadah solat sunat tarawih secara berjemaah sepanjang Ramadan, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *