PENCERAMAH bebas, Dr. Zakir Naik berkemungkinan akan dihantar pulang dari Oman ke India.
Portal Telegraph India melaporkan, agensi perisikan India berhubung dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan Zakir Naik semasa lawatannya ke Oman yang dijadualkan pada hari ini (23 Mac), kata laporan itu.
Zakir Naik, seorang pendakwah Islam berasal dari India menetap di Malaysia sejak 2017.
Kerajaan Oman, baru-baru ini, menjemput Zakir Naik untuk menyampaikan dua kuliah agama di ibu kota Muscat, pada 23 Mac dan 25 Mac, sempena Ramadan.
Menurut laporan itu, Kedutaan India di Oman berhubung dengan agensi kerajaan negara itu untuk menahan Zakir Naik dan menghantarnya pulang ke India.
India berkemungkinan menghantar pasukan undang-undang untuk tindakan susulan selepas penahanan Zakir Naik, kata laporan itu, sambil menambah bahawa perkara itu sudah dibawa kepada perhatian Duta Oman oleh Menteri Luar India.
Zakir Naik , 57, melarikan diri dari India pada 2016 selepas organisasinya Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) diharamkan di negara itu.
Media sebelum ini melaporkan Zakir Naik dituduh dengan pengubahan wang haram oleh pendakwa raya di India.
Selain pengubahan wang haram, pihak berkuasa India juga menuduhnya menyebarkan ucapan berbaur kebencian dan menghasut keganasan.
Pada 2019, beliau dilarang menyampaikan syarahan di Malaysia.
Selain India, rangkaian TV Peacenya juga diharamkan di Bangladesh, Kanada, Sri Lanka, dan United Kingdom.
Leave a Reply