Oleh RIZQI ZABIDI
MANA-MANA pihak yang berhasrat memasang billboard atau iklan memaparkan gambar dan slogan pemimpin negara di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah, dimestikan untuk menyertakannya dengan gambar pemimpin dan slogan negeri.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, mereka yang mahu memasang billboard dan iklan sedemikian mestia memohon lesen dari pihak PBT.
Katanya, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Exco semalam bagi membina keharmonian.
“Contohnya billboard yang memaparkan gambar Perdana Menteri dengan slogan Malaysia Madani mestilah disertakan dengan gambar Menteri Besar Kedah bersama slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ dengan saiz dan tata letak sewajarnya,” katanya melalui satu status dimuat naik di laman Facebooknya malam tadi.
Bersama status tersebut, Muhammad Sanusi turut memuat naik gambar sebuah papan iklan gergasi memaparkan wajah Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf yang dipasang salah sebuah lokasi di Alor Setar.
Zamri merupakan ADUN dari PKR yang turut memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Muhammad Sanusi turut memaklumkan, papan iklan gergasi memaparkan gambar menteri dan timbalan menteri juga harus disertakan dengan gambar exco negeri yang memegang portfolio berkaitan.
“Syarat-syarat lain yang dikuatkuasakan oleh PBT juga mestilah sentiasa dipatuhi,” katanya.
Leave a Reply