PELAKON, Puteri Sarah akan memfailkan Hadanah iaitu hak jagaan dua anaknya di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Puteri Sarah atau nama sebetulnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, belum mendedahkan maklumat terperinci mengenai permohonan itu.
Terdahulu, dia tiba di mahkamah pada pukul 10.59 pagi.
Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.
Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie selaku plaintif, memfailkan permohonan cerai pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co dengan menamakan Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, selaku defendan.
Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Semalam, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Leave a Reply