Pas pilih demokrasi bukan demonstrasi

Oleh ABDUL HADI AWANG

Mengapa PAS menarik diri dan tidak bersama gerakan yang dianjurkan oleh NGO yang bernama BERSIH suatu ketika dahulu?

Sewaktu slogan ‘Reformasi’ yang menjadi slogan PKR dilaungkan sekuat-kuatnya ketika menganjurkan demonstrasi jalanan, PAS tidak menentang demonstrasi secara mutlak. Akan tetapi, PAS tidak menyalahgunakannya sekali-kali laksana kanak-kanak menggunakan api yang boleh membakar rumah sendiri, bukan untuk memasak mahupun mengambil manfaat daripada tenaga dan cahayanya.

Apabila PAS menarik diri daripada gerakan tersebut, ternyata kekuatan PAS yang sebenar telah dipergunakan untuk suatu agenda yang salah. Jentera PAS digunakan juga untuk pilihan raya bagi memenangkan rakan gabungan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) yang tiada jentera yang cukup kerana tidak memiliki cawangan yang banyak. Sudah terlalu banyak sumbangan harta dan tenaga ahli PAS dikorbankan demi berkawan, di samping menahan sabar oleh tindakan dan kenyataan yang bercanggah dengan prinsip dan konsep perjuangan Islam.

Dalam fiqh politik Islam, ada perkara qat‘iyyat yang merupakan nas al-Quran dan Hadis yang tidak boleh diubah, khususnya perkara yang berkait dengan prinsip aqidah. Selain itu, ada juga perkara mutaghayyirat yang bersifat dinamik, memerlukan ijtihad para ulama’ secara jemaah dan pengamatan politik yang memahami perubahan.

Pada mulanya, PAS mengambil pendekatan taḥaluf siyasi yang terdapat dalam politik Islam, iaitu keharusan bekerjasama dengan pihak lain yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW khususnya kerjasama dengan kumpulan Islam yang diwajibkan dan kumpulan bukan Islam yang berdamai. Namun, kerjasama itu dibatalkan apabila prinsip dan konsep perjuangan Islam dilanggar oleh pihak yang lain.

Satu perbincangan khusus dilakukan secara tidak rasmi antara tiga orang pimpinan utama; melibatkan dua orang mantan al-Mursyid al-‘Am, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Dr. Haron Din serta saya sendiri selaku Presiden PAS. Selepas itu, diikuti dengan perbincangan secara rasmi melalui muzakarah Majlis Syura Ulamak PAS, sehingga menghasilkan pendekatan yang lebih longgar bernama ta‘awun siyasi. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿…وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam (berbuat) dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksaan-Nya.” (Surah al-Ma’idah: 2)

Sejak ditubuhkan pada tahun 1951, PAS pada awalnya berjenama NGO iaitu Persatuan Islam Se-Tanah Melayu. Kemudian, apabila masuk ke gelanggang politik, maka diubah nama kepada Parti Islam Se-Malaysia. PAS tetap memilih pendekatan Demokrasi Berparlimen; satu pilihan yang tepat dengan siasah syar‘iyyah.

Sejarah mencatatkan bahawa PAS ditubuhkan selepas beberapa siri parti Islam diharamkan oleh penjajah kerana mencegah politik Islam dihidupkan semula. Penjajah berbuat demikian bagi menghalang penubuhan sebuah negara Islam yang sangat ditakuti mengikut kajian para orientalis, sehingga keluarnya kenyataan Islam lebih bahaya daripada komunis kerana adilnya Islam itu untuk semua.

Pendekatan damai hendaklah diutamakan dalam gerak kerja Islam. Maka, demokrasi Barat yang berkonsepkan kebebasan bersuara ialah ruang yang wajib diambil dalam kerja dakwah yang tidak berpisah dengan politik Islam, walaupun masih banyak kelemahan dalam amalan demokrasi ala Barat dan berat sebelah (double standard) terhadap Islam. Pendekatan damai lebih wajib diambil khususnya terhadap apa yang berlaku di tanah air sendiri, dan keadaan satu umat yang tenggelam dalam kejahilan agama yang sengaja diwujudkan oleh penjajah pada zaman mereka berkuasa dahulu.

Saya membawa pandangan ini di peringkat antarabangsa dalam kalangan parti-parti Islam di luar negara. Sehinggakan, saya terpaksa berkhilaf dengan Almarhum Dr. Yusuf al-Qaradawi apabila Almarhum menyokong Arab Spring bersama dengan Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turkiye.

Hujah yang saya kemukakan ialah bahawa pendekatan secara keras, termasuk demonstrasi jalanan boleh mencetuskan pergaduhan dengan polis dan tentera daripada kalangan saudara seagama dan sebangsa di dalam negara sendiri. Perkara ini boleh mencetuskan perang saudara yang menjadi proksi pihak asing, sehingga sanggup mengebom masjid sendiri. Akhirnya berlaku juga di negara Arab, kecuali di negara yang menghadapi pencerobohan seperti Palestin, Afghanistan, dan Iraq.

Saya mengambil pendirian yang tegas sehingga saya meletakkan jawatan daripada pelantikan menjadi Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia. Alasannya, mereka melantik tanpa kehadiran saya dalam muktamar yang telah diadakan. Namun, saya dipujuk untuk menarik balik peletakan jawatan itu.

Kenyataan saya disedari benarnya apabila Turkiye menghadapi rampasan kuasa tentera dengan provokasi asing yang gagal lalu menyelamatkan Presiden Erdoğan, di samping Hamas Palestin yang dihalau dari Syria. Akhirnya, mereka terpaksa mengubah pendirian bersama Almarhum. Kini, berlangsung pula perdamaian antara Arab Saudi dengan Iran serta pemulihan hubungan antara Turkiye, Syria, dan Mesir.

Apabila kumpulan pelampau menghantar beberapa buah buku dalam bahasa Arab yang mengharamkan demokrasi pilihan raya, saya terpaksa mengambil masa menulis buku berjudul ‘Islam dan Demokrasi’ bagi menjawab hujah-hujah yang salah mengikut siasah syar‘iyyah. Pada awalnya, saya mengarang dalam bahasa Arab, tetapi akhirnya saya memilih bahasa Melayu kerana lebih penting karya ini dimanfaatkan di bumi tempat saya berpijak.

PAS mengambil pendekatan ta‘awun siyasi dengan membawa konsep perpaduan ummah, iaitu menyatukan umat Islam terlebih dahulu, diikuti oleh penyertaan bukan Islam yang tidak ekstrem. Sehinggalah PAS berhasil mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta menubuhkan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu, PAS menolak sebarang pendekatan yang sempit iaitu MN yang hanya bercirikan UMNO dan PAS sahaja, serta menolak PN yang menyingkirkan UMNO kerana menyedari UMNO ialah Parti Melayu Islam yang besar dan berakar umbi.

UMNO terpaksa menerima padahnya apabila meninggalkan pendekatan yang dicadangkan, dengan mereka terpaksa mengalami kekalahan teruk dalam PRU-15. Malangnya, terdapat kalangan UMNO lebih memilih bersama kumpulan liberal yang tidak istiqamah dalam prinsip dan kumpulan bukan Islam yang ekstrem, kerana lebih mementingkan agenda diri sendiri daripada kepentingan agama, bangsa, dan tanah air.

PAS memperkenalkan pendekatan politik Islam yang kaya dengan penulisan para ulama’ yang mewarisi ilmu para anbiya’ khususnya dalam politik, termasuk konsep Khilafah dan Raja Berperlembagaan. Malangnya, kitab-kitab dalam lapangan ini ditinggalkan pengajiannya kecuali di Universiti al-Azhar, Mesir dalam pengajian Siasah Syar‘iyyah.

Maka, langkah melaga-lagakan PAS dengan raja-raja ialah langkah sumbang yang pernah digunakan oleh penjajah dahulu bagi mengekalkan kuasa mereka secara adu domba antara raja dengan raja, rakyat dengan rakyat, dan raja dengan rakyat. Percayalah bahawa mereka yang berpura-pura bertopengkan raja-raja inilah yang menghapuskan raja dan membunuh raja sebagai korban di negara jiran Indonesia, sehingga tinggal sultan di Jogja dan Aceh sahaja setelah raja dan rakyat ditipu secara halus.

Islam yang datang ke Nusantara ialah Islam yang sempurna sehingga membina tamadunnya sendiri melibatkan raja-raja, para ulama’, dan rakyat. Penjajah berjaya menakluk setelah berjaya memecah-belahkan raja-raja, para ulama’, dan rakyat.

Inilah Islam yang patut menjadi tafsir kepada perkataan ‘Islam’ dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia daripada perkataan ‘al-din’ mengikut bahasa al-Quran, bukannya perkataan ‘religion’ dalam bahasa penjajah. Sepatutnya, kita meninggalkan tafsiran mengikut bahasa-bahasa yang lain daripada bahasa al-Quran.

Apabila penjajah menukar pendekatan penjajahan moden kepada serangan pemikiran, menyebabkan hilangnya kefahaman terhadap fiqh politik Islam. Namun, kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama’ masih tersimpan dalam khazanah ilmu Islam, termasuk konsep Raja Berperlembagaan dan Syura yang melibatkan ulama’ dan umara’.

Antaranya ialah kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh Imam al-Mawardi RH dan Ghiyath al-Umam fi al-Tiyath al-Zulam oleh Imam al-Ḥaramayn al-Juwayni RH. Kitab dalam bahasa Melayu pula seperti Itqan al-Muluk bi Ta‘dil al-Suluk (Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman), pada penutup kitab Munyah al-Muṣalli oleh Syeikh Daud al-Fatani, dan lain-lain.

Walaupun perjuangan kemerdekaan menentang penjajah pada awalnya melibatkan para raja, ulama’, dan rakyat sehingga mengorbankan para syuhada’ daripada semua kalangan yang tidak boleh dinafikan. Akan tetapi, ia ditimbus daripada pengajian sejarah di institusi pengajian yang sengaja diatur supaya kita buta terhadap sejarah yang sebenar.

PAS terpaksa menjadi lilin yang membakar diri sendiri bagi memancarkan cahaya Islam yang menjadi petunjuk di sepanjang jalan. PAS terpaksa menghadapi kalangan umat Islam yang tenggelam dalam kejahilan dan bukan Islam yang fanatik jahiliah mereka. Semuanya wajib diselamatkan bersama Islam daripada petunjuk Allah kepada seluruh manusia.

Islamofobia menjadi senjata baharu bagi menentang Islam habis-habisan, walaupun dengan cara yang salah dan zalim. Caranya memberikan tasawur yang salah terhadap Islam, sehingga digambarkan penuh kejelikan dan keganasan tanpa membaca dan mengkaji sumber ajarannya yang sebenar. Hakikatnya, musuh Islam itu sendiri yang menentang Islam dengan keganasan yang paling melampau.

Media digunakan sepenuhnya dengan bantuan kewangan dan kepakaran laksana memberikan senjata kepada penjenayah yang menyalahgunakannya. Orang-orang yang jahil agama diberikan ruang menulis perkara agama bagi mewujudkan naratif yang sesat dan menyesatkan. Mereka membantu musuh yang pernah dihadapi oleh para anbiya’ AS. Firman Allah SWT:

﴿وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّٗا شَيَٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِي بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٖ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا يَفۡتَرُونَ١١٢﴾

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan (daripada jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” (Surah al-An‘am: 112)

Parti-parti yang berwajah dan jenama perkataan dalam Islam ditubuhkan, laksana golongan yang mendirikan Masjid Dirar pada zaman Rasulullah SAW dengan melantik seorang pemuda yang merupakan seorang qari al-Quran yang tidak menyedari dia telah dipergunakan. Peristiwa ini didedahkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مَسۡجِدٗا ضِرَارٗا وَكُفۡرٗا وَتَفۡرِيقَۢا بَيۡنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَإِرۡصَادٗا لِّمَنۡ حَارَبَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ مِن قَبۡلُۚ وَلَيَحۡلِفُنَّ إِنۡ أَرَدۡنَآ إِلَّا ٱلۡحُسۡنَىٰۖ وَٱللَّهُ يَشۡهَدُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ١٠٧ لَا تَقُمۡ فِيهِ أَبَدٗاۚ لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِۚ فِيهِ رِجَالٞ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِينَ١٠٨﴾

“Dan (antara orang-orang munafiq itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (kepada orang-orang Mukmin), untuk kekufuran (menentang Islam), dan untuk memecah belah antara orang-orang Mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: ‘Kami tidak menghendaki selain kebaikan.’ Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya, mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya). (107) Janganlah kamu bersembahyang di dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya, masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba’), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya (masjid itu) ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang bersih. (108)” (Surah al-Tawbah: 107–108)

Golongan munafiq itu mengambil langkah membina masjid bagi mengelirukan umat, sehingga pelbagai cara lain dilakukan yang akan kita jumpai sepanjang zaman dan perjalanan dunia.

Justeru, PAS tetap memilih pendekatan demokrasi yang damai walaupun berkali-kali mengalami kekalahan pilihan raya dan rebah bangun dalam perjuangan mendirikan kerajaan yang sebenar mengikut dasar dan prinsip Islam yang diperjuangkan. PAS tetap memilih pensel dan tangan memangkah undi serta kempen cara damai yang tidak mengorbankan rakyat dengan sia-sia, namun tidak menyerah kalah dalam menghadapi semua bentuk cabaran.

Allah SWT berfirman memberikan petunjuk:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Penulis ialah Presiden PAS


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *