Langkah kerajaan pulihkan ekonomi ambil masa – Muhyiddin

KETUA Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan langkah diambil kerajaan PH-BN dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi negara yang disifatkannya mengambil masa lama dan menyebabkan golongan terkesan akan terus menderita.

Muhyiddin (PN-Pagoh) berkata, kumpulan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ketika ini terkesan dengan kejatuhan ekonomi pasca pandemik.

“Tidakkah kerajaan bercadang mengadakan pakej rangsangan ekonomi bersasar khasnya bagi membantu golongan ini?” tegasnya melalui soalan tambahan ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Harakahdaily.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada sektor yang mengambil masa untuk dipulihkan seperti sektor pembinaan dan pelancongan, yang mana ia mungkin runtuh jika tidak dibantu dengan segera.

“Saya bimbang situasi pada tahun ini, keadaan akan bertambah teruk dan mungkin lebih ramai orang akan hilang pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin meminta Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan strategi dan langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara khususnya adalah bagi memenuhi keperluan kumpulan tersebut.

Sementara itu Rafizi dalam jawapanya menegaskan bahawa kerajaan ketika ini sedang memberi tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu mengukuhkan kedudukan fiskal, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu dan melaksanakan reformasi struktur ekonomi.

“Tumpuan akan diberi kepada sumber pertumbuhan baharu daripada sektor strategik yang dapat mempercepatkan kemasukan pelaburan baharu.

“Industri yang berteknologi tinggi dan mengutamakan pendigitalan seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa dan pusat data akan diberi keutamaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *