Batalkan acara “Thai Hot Guy”

Oleh AZMER SYAZWAN AHMAD SUPARMIN

1- Tular sebuah acara keramaian sempena perasmian bar Tun Razak (Privacy Club Tun Razak) yang bakal diadakan pada 30 Mac 2023. Sebuah kumpulan lelaki berpakaian wanita (Thai hot guy) juga telah menjadi jemputan utama perasmian ini.

2- Thai Hot Guy ini adalah sekumpulan pelayan restoran di Bangkok, Thailand yang memakai pakaian dalam wanita sebagai asas tarikan pelanggan. Kumpulan inilah yang akan dijemput untuk perasmian sebuah bar di KL nanti.

3- Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat penganjuran acara seperti ini hanya akan menyemarakkan lagi penyakit sosial yang sudah sedia tertimpa dalam kalangan masyarakat. Bahkan, acara ini akan menyegarkan lagi kumpulan gay dan penganut hedonisme untuk melampiaskan keinginan mereka.

4- DPPWP melahirkan rasa hairan dengan keberanian pihak penganjur menjemput dan menghebahkan secara terbuka acara seperti ini. Seolah-olah penganjuran acara seperti ini lebih mudah dan ringan ketika kerajaan dipimpin oleh Pakatan Harapan. Suasana yang sama seperti pasca PRU14.

5- Maka, DPPWP menggesa Kerajaan Madani Anwar Ibrahim untuk membatalkan penganjuran program yang tidak bermaruah ini. DPPWP mengharapkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim agar menunjukkan kesungguhan dan tekad dalam membatalkan program ini seperti mana tekad dan kesungguhan mereka menangkap dan menyoal siasat ahli parti pembangkang.

6- Kerajaan Madani bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mestilah tegas menghalang acara ini yang termaktub di dalam Akta 493, Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992. Memandangkan PM-10 juga Menteri yang menjaga portfolio Wilayah Persekutuan, amatlah wajar arahan pembatalan ini keluar langsung dari mulutnya.

7- Negara Malaysia tidak akan rugi sedikit pun dengan pembatalan program ini. Bahkan, kejayaan kerajaan membatalkan acara yang tidak bermaruah ini akan dikenang sebagai kesungguhan kerajaan dalam merealisasikan impian MADANI yang sering diulang oleh PM-10.

8- Jika tidak, penganjur dan pihak kerajaan yang lemah dalam hal ini akan berhadapan dengan kemarahan dan kegusaran rakyat khususnya umat Islam di negara ini. Jadikanlah bulan Ramadan yang mulia ini sebagai medan beribadah dan bukannya medan mendedahkan masyarakat dengan masalah sosial.

Penulis ialah Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *