651 orang disaman memandu tanpa lesen 3 hari Op Rentas JPJ

SEBANYAK 651 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pengguna jalan raya atas kesalahan memandu tanpa lesen sah hanya dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Op Rentas yang berakhir hari ini.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 1,821 notis saman yang dikeluarkan pihaknya sepanjang operasi tersebut, sekali gus menunjukkan memandu tanpa lesen terus menjadi kesalahan tertinggi dalam kalangan pengguna jalan raya.

Lebih membimbangkan, ujar beliau, kebanyakan pemandu yang tidak memiliki lesen itu terdiri daripada golongan belia yang juga lepasan sekolah dan universiti.

Ujar beliau, Ops Rentas itu dijalankan di beberapa lokasi antaranya plaza tol Jambatan Pulau Pinang; plaza tol Sungai Dua arah Utara dan Selatan serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Tiada lesen memandu masih mendominasi dalam kalangan pemandu di negeri ini dan alasan sama masih diberikan antaranya tiada masa untuk membuat lesen memandu dan harga lesen memandu mahal.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 3,668 kenderaan diperiksa manakala 1,821 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi berlangsung,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 400 motosikal turut disita dalam operasi sama dengan kebanyakannya ditunggang oleh warga asing.

Ujarnya, operasi yang dijalankan bersama JPJ Kedah dan Perlis itu bertujuan menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, APAD 2010 dan Kaedah-kaedah di bawahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *