Datuk Zuraida Kamaruddin

Zuraida tak tanding PRN, fokus MN, sokong PN

BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak berhasrat bertanding dalam mana-mana pilihan raya negeri akan datang.

Sebaliknya bekas Meneri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu akan menyokong calon Perikatan Nasional (PN).

“Dari segi bertanding, saya tidak lagi memainkan peranan penting,” katanya kepada FMT apabila ditanya sama ada beliau bercadang bertanding dalam PRN sebagai calon bebas atau atas tiket parti lain.

Zuraida berkata demikian selepas menghadiri majlis Hari Wanita Antarabangsa anjuran Institut Wanita Berdaya di Klang.

Katanya, buat masa ini, tumpuannya untuk membantu Muafakat Nasional (MN) yang disertainya Disember lalu bagi mendapatkan dana.

Zuraida dipecat Parti Bangsa Malaysia (PBM), bersama 10 individu lain Disember lalu, selepas gagal menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan parti itu.

Bekas ahli Parlimen tiga penggal itu bertanding sebagai calon PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 dalam usaha mempertahankan kerusinya, tetapi tewas kepada Rodziah Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dalam pertembungan sembilan penjuru.

Zuraida kemudiannya menyertai MN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Annuar Musa dan dilantik sebagai timbalan presidennya Januari lalu.

Awal bulan ini, Zuraida dilaporkan berkata, beliau akan menyokong PN dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang mungkin diadakan pertengahan tahun ini susulan kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *