PN tolak kemasukan Pejuang sebagai parti komponen

MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) memutuskan menolak permohonan kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai anggota parti komponen gabungan politik itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional, semalam.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional semalam telah dipengerusikan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr. Dominic Lau dan semua wakil parti-parti anggota.

“Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan parti Pejuang Tanahair ke Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pejuang pada 2 Mac lalu memohon untuk menjadi anggota parti komponen dalam PN.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, surat permohonan itu telah dihantar kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan salinan kepada Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

Menurut Mukhriz, keputusan itu tidak dibuat berseorangan, sebaliknya mendapat persetujuan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang dalam mesyuaratnya.

“Keputusan ini telah disepakati MEP selepas meneliti dan menilai semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada.

“Perjuangan PN adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi dari Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2 baru-baru ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *