Misi tawan Selangor bermula

Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

MENTERI Besar Selangor telah pun mengisytiharkan bahawa ADUN Umno Selangor adalah sebahagian daripada Kerajaan PH Selangor sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri Jun ini.

Bermakna Ahli-ahli DUN Umno Sg Air Tawar (Datuk Rizam), Sg Panjang (Datuk Imran), Hulu Bernam (Datuk Rosni), Sg Burong (Datuk Samsuddin) dan Semenyih (Hj Zakaria) kini dikira sebahagian dari Kerajaan PH Selangor yang Menteri Besarnya dari PKR dan Exconya ada PKR, DAP dan PAN.

Bagi para pengundi Melayu di Selangor termasuklah anak-anak muda yang telah mencetuskan ‘Gelombang Hijau‘ dalam PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini hingga memenangkan PN di Hulu Selangor (dalamnya DUN Hulu Bernam), Sabak Bernam (dalamnya DUN Sg Air Tawar), Sg Besar (dalamnya DUN Sg Panjang), Tg Karang (dalamnya DUN Sg Burong), Kapar dan Kuala Langat sedarlah bahawa dalam PRN Selangor ke-15 nanti Umno akan bekerjasama dengan PH dan akan lawan PN. Pimpinan Umno sanggup dan tergamak lawan PAS.

Dulu Umno minta kita tolak DAP tolak PKR. DAP dikatakan ekstremis, rasis menentang agenda Melayu Islam manakala PKR pula liberal dan sanggup bersekongkol dengan DAP. Tapi hari ini mereka pula sudah berkawan.

Dulu gandingan PAS dan Umno atas nama MN telah menumbangkan PH di PRK Semenyih hasil kesedaran politik umat Melayu Islam. Hari ini Umno memilih bersama PH yang kita tumbangkan.

Agenda memperjuangkan nasib dan masa depan serta mempertahankan hak umat Melayu Islam hari ini nampaknya cuma digalas PN yang dalamnya ada PAS dan BERSATU.

Kita mahu umat Melayu Islam memimpin dengan bermaruah dan berdaulat di tanah airnya sendiri. Kehidupan dan kebajikan anak-anak bangsa yang miskin dan merempat mesti dibela dan dipulihkan segera. Rasuah kepincangan dan salah guna kuasa mesti ditentang.

Agama Islam yang menjadi pegangan kita mesti dimulia dan dimartabatkan sebagai asas kekuatan kita dunia hingga akhirat. Melaluinya kita lahirkan pimpinan anak-anak Melayu yang bertaqwa, berwibawa dan penuh berintegriti.

Dalam waktu yang sama kita berikan hak dan keadilan pada sahabat-sahabat kita masyarakat bukan-Melayu terutama yang dipinggirkan.

Kita tidak mahu DAP yang berfahaman sekular itu menentukan arah tuju kehidupan kita. Itulah punca No DAP dulu, malangnya Umno seakan telah lupa.

Kita tidak mahu agenda liberalisma, pluralisma dalam beragama yang dijaja PH merosakkan masa depan ummah.

Lalu kita kesal kawan-kawan kita dalam Umno yang dulu bersama kita membina dan memperkasakan politik Penyatuan Ummah, mengangkat dan memperkuatkan kuasa politik umat Melayu hari ini memilih bersama PH yang didominasi DAP.

Kita sedar umat Melayu Islam termasuklah di Selangor rata-rata lebih cenderung pada politik Penyatuan Ummah, inilah arus yang telah melonjakkan ‘Gelombang Hijau’ kebangkitan kesedaran politik umat Melayu Islam. Ahli-ahli biasa Umno yang selesa dan cenderung MN juga ramai, lebih matang dari pimpinan tertinggi mereka di WTC.

Lantas jika Umno telah muktamad memilih PH dan DAP, meninggalkan perjuangan keramat ini maka suka tidak suka perjuangan ini akan kita diteruskan.

Gelombang ini akan terus kita pacu dan pastikan bergelora, oleh kerana pimpinan tertinggi Umno telah memilih meninggalkannya maka kekuatan gelombang ini yang kita bangkitkan dahulu untuk melanggar PH dan DAP insya-Allah kini akan kita gunakan untuk melanggar Umno sekali, bersama ahli-ahli mereka yang sedar.

PAS Selangor akan bekerja kuat sebagaimana kita bekerja di PRK Semenyih dahulu, kali ini untuk menawan Sg Air Tawar, Sg Panjang, Sg Burong dan Hulu Bernam kerana bagi kita jelas No PH, No DAP, No PKR dan kini No Umno.

“Selangor BEST PN BEST“
“Tumbang PH”

Penulis ialah Setiausaha Pas Negeri Selangor


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *