Isu tuntutan caj air mentah: Kerajaan Persekutuan diharap jadi orang tengah

Oleh RIZQI ZABIDI

KERAJAAN Persekutuan perlu menjadi ‘orang tengah’ dalam rundingan antara Kedah dan Pulau Pinang bagi menyelesaikan isu tuntutan caj air mentah yang tidak berkesudahan antara dua negeri berjiran tersebut.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada perkembangan terbaru melibatkan kedua-dua negeri itu sejak pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, sikap kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap tuntutan Kedah itu juga tampak kekal sama seperti sebelum ini.

“Sebelum PRU-15, kerajaan Persekutuan ketika itu ada mengusahakan pertemuan antara dua pihak tetapi di bawah kerajaan baharu ini, belum ada apa-apa lagi.

“Kita harap kerajaan pusat dapat jadi pengendali rundingan itu dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan ambil inisiatif tersebut. Jika tidak isu ini akan berterusan kerana Kedah tidak akan sama sekali berhenti membuat tuntutan itu.

“Kalau keadaan ni berterusan, kita akan ada langkah lain untuk diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan larian sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2023 anjuran Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri di dataran depan Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini kerajaan negeri mengemukakan tuntutan bertulis keapda Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagaimanapun menegaskan, penggunaan air Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri ini adalah sejajar dengan hak dan undang-undang antarabangsa.

Muhammad Sanusi menambah, ketika ini banyak pihak sudah memahami isu tersebut terutamanya penyelenggaraan, pengekalan tadahan air dan ‘river basin’ yang cuma lima peratus saja dimiliki Pulau Pinang.

“Kita bukan saja menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi malah ‘terlepas’ banyak perkara kerana tidak dapat membangunkan tanah dari kawasan tadahan, demi memastikan bekalan air mentah tidak terjejas.

“Pulau Pinang tak tahu semua ini kerana mereka cuma tahu ambil air di ‘bawah’ saja. Bayar sajalah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *