Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor

Isu bekalan air di Kedah tak sampai ke tahap krisis

Oleh RIZQI ZABIDI

MASALAH bekalan air yang terjejas di Kedah berikutan kemarau panjang akibat fenomena La Nina di utara tanah air, tidak sampai ke tahap krisis.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, kemarau yang berlaku mengakibatkan pam-pam di muka sauk berada dalam keadaan tergantung berikutan paras air sungai surut.

Justeru katanya, kerja-kerja penyesuaian yang rumit termasuk menurunkan pam ke paras sepatutnya terpaksa dilakukan.

“Kita harap isu ini dapat diatasi segera. Begitu pun kita bukanlah berada dalam keadaan krisis kerana sumber air mentah di negeri ini tidak berada pada tahap baik dan takungan sedia ada juga mencukupi.

“Ketika ini kita telah minta Syarikat Air Darul Aman (SADA) perbanyakkan penghantaran air menggunakan lori. Selain itu, LSANK juga ada maklumkan bahawa di beberapa lokasi, telaga air boring yang pernah dibuat sebelum ini kini diaktifkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melepaskan larian sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2023 anjuran Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri di dataran depan Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, biasanya kemarau berpanjangan itu sekiranya berlarutan hingga dua atau tiga bulan, akan membawa masalah kepada bekalan air.

“Boleh dikatakan, setiap tahun Kedah menghadapi situasi sama dan kita memiliki pelan kontingensi untuk mengatasinya.

“Menjelang ketibaan Ramadan dan Syawal tak lama lagi, insya Allah kita akan laksanakan yang terbaik. Tahun ini kita telah laksanakan persiapan lebih awal,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *