PENGARAH Eksekutif (Haji) Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, formula baharu mengenai bayaran haji yang ditanggung oleh jemaah haji diperlukan untuk memastikan kelestarian kewangan Tabung Haji secara menyeluruh.
Menurut beliau, Tabung Haji (TH) bukan sahaja bertanggungjawab kepada jemaah haji, bahkan juga kepada 8.8 juta pendeposit yang menjangkakan pulangan dividen sewajarnya setiap tahun.
“Saya rasa rajah yang kita tunjukkan dari tahun 2001 sehingga 2022 menggusarkan kita. Dari segi kos kita lihat meningkat secara mendadak. Dalam masa yang sama bayaran haji tidak mencerminkan kenaikan yang sepatutnya.
“Jadi saya rasa sudah sampai masanya kita lihat dengan lebih serius mengenai bayaran haji dan bagaimana kita boleh mengolah suatu formula baharu. Supaya jemaah haji masih mampu pergi haji dan dari segi kelangsungan, TH akan dapat diteruskan,” katanya dalam program Agenda AWANI baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, adalah tidak wajar sejumlah kos besar disalurkan hanya kepada lebih 30,000 jemaah haji dan mengabaikan aspek agihan keuntungan yang wajar kepada pendeposit lain.
“Kita perlu lihat kembali had sebenar jumlah daripada dana pendapatan yang boleh diberikan kepada Bantuan Kewangan Haji (Hajj Financial Assistance atau HAFIS) dan selebihnya kita nak beri kepada agihan keuntungan setiap tahun pendepositi yang 8.8 juta ini.
“Untuk 30,000 ini perlu ada had dari segi jumlah tunai atau nisbah ke atas jumlah dana yang kita ada. Ini sedang dikaji dan diusahakan. Yang penting untuk tahun lepas dan tahun ini, sudah ada permulaan dan momentum,” tambah beliau.
Berdasarkan data TH, bayaran hanya dinaikkan tiga kali antara tahun 2001 hingga 2022.
Peningkatan pertama pada tahun 2002 kepada RM9,445 daripada RM8,585, sementara peningkatan kedua pada tahun 2009 kepada RM9,980 dan kali terakhir pada tahun 2022.
Pada tahun tersebut, pertama kali diperkenalkan kategori B40 yang perlu membayar RM10,980, manakala Bukan B40 pula RM12,980.
bantuan kewangan, Tabung Haji, Haji, Syed Saleh Syed Abdul Rahman,
Leave a Reply