ABANG penyanyi Stacy Anam iaitu Chaq, 35, meninggal dunia di Hospital Sibu, Sarawak awal pagi ini selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Bintangor, 12 Mac lalu.
Pemergian Chaq atau nama sebenarnya Camellus Delleli Anam pada pukul 3.30 pagi tadi disampaikan oleh adik lelakinya, Aldrich Andy Anam.
“Abang saya sudah tiada. Jantungnya terhenti sekitar pukul 3.30 pagi,” kata Aldrich kepada Astro AWANI.
Selain Aldrich, turut berada di sisi Chaq semasa mendiang abangnya itu menutup mata buat kali terakhir ialah ibu mereka Agnes Carlos.
Kata Aldrich, mereka sekeluarga reda dan berlapang dada menerima takdir itu.
“Mak okey dan kami (sekeluarga) reda dan berserah sejak Chaq masuk hospital lagi,” ujar Aldrich lagi.
Mengulas lanjut, Aldrich berkata, mayat Chaq masih berada di Hospital Sibu dan mereka sekeluarga akan menguruskan membawa mayat kembali ke kampung halaman di Penampang, Kota Kinabalu, Sabah untuk urusan pengebumian.
Katanya, kakaknya, Stacy pula dijangka tiba di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur esok bagi bersama-sama keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Chaq.
Mendiang Chaq terlibat dalam kemalangan di Bintangor, Sarawak sehingga mengakibatkan dia mengalami pendarahan dalam kepala.
Berikutan tragedi itu, Chaq yang juga peserta sebuah program realiti dan penyanyi sambilan bertarung nyawa di hospital walaupun sudah menjalani dua pembedahan disebabkan pendarahan itu.
Beberapa organ dalaman Chaq mengalami gangguan antaranya masalah jantung selain hati dan limpa mengalami luka.
Beberapa hari lalu, Stacy turut meminta doa ramai berharap agar abangnya terus kuat berjuang dan kembali sihat seperti sedia kala.
“Mohon doakan kesembuhan buat abang saya Chaq. Harap dia terus kuat, tetapi saya dapat rasa dia tengah melawan. Insya-Allah mesti dia boleh,” katanya.
Leave a Reply