Siasatan ‘Jom Ziarah Gereja’: Chegubard dakwa ada usaha lindungi Yeoh

POLIS akan memanggil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi membantu siasatan terhadap acara ‘Jom Ziarah Gereja’ yang telah dibatalkan.

Pengerusi Penaja Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin mendakwa, wujudnya konspirasi untuk melindungi menteri tersebut berdasarkan siasatan dilakukan mengikut kaum pegawai polis yang mengambil keterangan beliau dan Yeoh.

Badrul yang lebih dikenali dengan nama Chegubard berkata, laporan polis Yeoh terhadapnya diserahkan kepada seorang inspektor Cina, manakala laporannya terhadap Yeoh diberi kepada inspektor India.

“Tak mungkin ia satu kebetulan yang kedua-dua pegawai polis ini bukan beragama Islam.

“Namun saya yakin ia bukan keputusan polis sebaliknya tekanan dari pihak atasan,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul sebelum memberi keterangan, hari ini, lapor Malaysiakini.

Badrul menegaskan, tidak menentang agama lain namun tindakan mempromosi agama lain kepada orang Islam adalah salah.

Terdahulu, Badrul mendakwa Yeoh ingin menjalankan program Kristian evangelis menerusi acara ‘Jom Ziarah Gereja’.

Acara itu adalah sebahagian daripada program kunjungan golongan muda ke rumah ibadat pelbagai agama untuk memupuk pemahaman mereka berkenaan agama lain.

Yeoh menafikan dakwaan unsur Kristian evangelis dan membuat laporan polis terhadap Badrul.

Beliau juga menjelaskan golongan muda bukan Islam juga terlibat dalam program ‘Jom Ziarah’, antaranya ke masjid.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *