Lebih 50,000 liter diesel seleweng dirampas KPDN Pulau Pinang

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya mematahkan lapan percubaan menyeludup diesel bersubsidi membabitkan rampasan berjumlah 50,340 liter dengan nilai RM369,231 menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan sepanjang bulan ini setakat semalam.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, jumlah itu termasuk dua kes rampasan diesel bersubsidi di Bandar Perda, Bukit Mertajam kelmarin dan di Sungai Bakap, Nibong Tebal, semalam.

Jelas beliau, dalam operasi di Bandar Perda, pihaknya mengesan sebuah lori seberat tujuh tan yang mencurigakan hasil pemantauan di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, sepasukan anggota penguat kuasa kemudian bertindak mengekori lori tersebut yang membuat pembelian berulang dari sebuah stesen minyak ke sebuah stesen minyak lain.

“Bagaimanapun, apabila menyedari diekori, pemandu lori itu kemudian menghentikan kenderaannya di kawasan bangunan lama sebuah pusat beli-belah di Bandar Perda sebelum melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit kemudian mendapati terdapat satu unit tangki besi tambahan berukuran 20x7x3 yang disyaki mengandungi diesel selain dua unit pam motor dan hos di bahagian lantai lori berkenaan yang digunakan untuk menyedut minyak diesel dari tangki asal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Menurut Jegan, modus operandi bagi kes ini ialah dengan membeli bahan api itu di beberapa tempat berasingan sebelum dikumpul di satu tempat untuk dijual kepada pihak ketiga.

Ujar beliau, pihaknya turut mengesyaki sindiket tersebut menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi aktiviti mereka selain memantau pergerakan pihak berkuasa dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Dalam operasi malam semalam di Sungai Bakap pula, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan bersama 4,600 liter diesel susulan pemeriksaan terhadap tiga buah lori kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jegan berkata, turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan bersama 80 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 14 kilogram (kg) setiap satu yang disimpan di sebuah stor simpanan khas dalam serbuan di Permatang Pasir, Balik Pulau, Jumaat lalu.

Jelasnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah lori yang digunakan untuk membekalkan barang kawalan tersebut dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM23,528.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *