BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kempen antirasuah dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) bertujuan menyingkirkan pemimpin pembangkang menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.
Beliau sebaliknya berkata, pemimpin kerajaan yang diketahui terlibat dengan rasuah pula tidak disiasat.
“Ini menunjukkan kempen antirasuah adalah berkaitan menjatuhkan pemimpin pembangkang supaya tidak ada penentangan terhadap kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal mengadakan PRN pertengahan tahun ini, setelah tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.
Kenyataan Dr Mahathir berkaitan menyingkirkan pemimpin pembangkang itu dipercayai menjurus kepada tindakan kerajaan PH-BN yang mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; dan beberapa pemimpin Bersatu yang lain.
Dalam pendakwaan terpilih bermotifkan politik dan dendam, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa kononnya menerima rasuah dan pengubahan wang haram, sedangkan sumbangan politik yang diterima Bersatu semuanya dimasukkan ke dalam akaun parti, bukan akaun peribadi, seperti dilakukan beberapa pemimpin UMNO.
Dalam kenyataan terbaharu itu, Dr Mahathir juga berkata kerajaan PH-BN yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sekarang ini telah memutuskan bahawa rakyat tidak boleh bercakap mengenai bangsa dan agama.
Jelas sekali katanya, peraturan itu ditujukan kepada orang Melayu.
“Peraturan ini sebenarnya bersifat perkauman kerana menafikan hak orang Melayu. Bercakap tentang berbilang kaum dan agama tidak mengapa. Tidak mengapa kerana ia memihak kepada kaum lain. Ini juga rasis.
“Tiada siapa boleh menafikan bahawa di negara ini orang Melayu berhadapan dengan pelbagai masalah. Adalah jelas bahawa jika masalah ini tidak ditangani sekarang ia akan menjadi lebih teruk. Kerajaan tahu ini.
“Larangan ke atas orang Melayu membincangkan masalah mereka dan mencari jalan untuk mengatasinya adalah paling tidak demokratik dan anti-Melayu. Itu sekali lagi adalah perkauman.
“Sebenarnya kerajaan tidak tahu apa yang akan diperkatakan pada perhimpunan tersebut. Malah deklarasi itu tidak menyalahkan kaum lain. Ia menyalahkan pemimpin Melayu yang telah didapati bersalah kerana mencuri wang kerajaan, pengubahan wang haram dan rasuah,” katanya, lapor Agenda Daily.
Leave a Reply