ADUN Muda gesa Johor jadi teladan, beri peruntukan sama rata

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz mahu penggubalan enakmen segera dilakukan bagi membolehkan semua wakil rakyat di Johor mendapat peruntukan sama rata.

ADUN daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, langkah menjamin semua wakil rakyat mendapat peruntukan sama dari kerajaan menjadi keutamaannya.

“Ini adalah antara pembaharuan yang perlu dilaksanakan dan Johor boleh menjadi teladan kepada negeri lain dengan meluluskan enakmen sebegitu.

“Kita tak perlu tunggu lagi setiap penggal untuk menentukan sekiranya ada peruntukan yang akan diberikan kepada ADUN-ADUN pengimbang kerajaan (pembangkang).

“Saya juga percaya bahawa kita tak perlu tunggu akta ini untuk lulus dan digazetkan di peringkat persekutuan,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

Peruntukan setara kepada semua wakil rakyat menjadi antara isu yang dibangkitkan oleh banyak pihak termasuk dalam kalangan wakil rakyat kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.

Sejak beberapa lama ahli parlimen atau ADUN kerajaan akan diberi peruntukan tertentu, manakala pembangkang menerima peruntukan yang jauh lebih kecil.

Bagaimanapun untuk rekod sekiranya akta mengenai peruntukan setara itu diluluskan di peringkat Persekutuan, itu tidak melibatkan negeri secara automatik.

Sebaliknya kerajaan negeri perlu mengemukakan usul kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diluluskan.

Amira Aisya berkata, isu tersebut tidak boleh dianggap remeh oleh sesiapa pun terutama apabila ia membabitkan rakyat secara langsung.

“Johor sekali lagi boleh menunjukkan kepada semua bangsanya bahawa semua wakil rakyat dalam DUN ini meletakkan kebajikan bangsa Johor lebih tinggi daripada agenda parti politik,” katanya.

Isu mengenai pembahagian peruntukan itu pernah dibangkitkan semasa Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menjadi Menteri Besar Johor pada akhir 2021.

Pada November tahun itu Hasni mengumumkan bahawa kesemua 56 Adun di negeri terbabit akan menerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setahun.

Dalam manifesto pilihan raya negeri BN pada Mac tahun lalu juga parti terbabit turut berjanji untuk terus memberikan peruntuan yang sama kepada semua ADUN sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *