UMNO PRU-15

(Kemas kini) Wan Rosdy, Khaled dan Johari menang jawatan Naib Presiden UMNO

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berjaya memenangi jawatan Naib Presiden UMNO.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Pahang memperoleh undi 116 bahagian manakala Khaled dan Johari masing-masing mendapat 104 dan 96 undi bahagian.

Berdasarkan jumlah undi sehingga pukul 9.30 pagi ini, tiga calon berkenaan berjaya memperoleh undi melepasi separuh daripada 189 bahagian UMNO yang bersidang semalam, lapor Malaysiakini.

Secara keseluruhannya UMNO mempunyai 191 bahagian, namun dua bahagian digantung daripada mengadakan persidangan dan pemilihan.

Keputusan itu juga menyaksikan buat pertama kali Wan Rosdy dan Johari berjaya memegang jawatan berkenaan, manakala Khaled mempertahankan kerusi dimenanginya itu sebelum ini.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menjadi calon tunggal wanita gagal untuk mencipta kemenangan apabila berada di tangga keempat.

Antara calon yang turut bersaing bagi jawatan naib presiden ialah penyandang jawatan, Mahdzir Khalid, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad.

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pula tidak dipertandingkan kali ini susulan ketetapan yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 lalu.

Keputusan rasmi pemilihan akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad selepas selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *