Oleh RIZQI ZABIDI
KETUA Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Merbok yang baharu apabila menewaskan penyandang jawatan itu, Annuar Ahmad menerusi majoriti tipis, dalam pemilihan semalam.
Begitu pun difahamkan proses kemenangan Shaiful Hazizy itu belum lagi ‘muktamad’ ketika Annuar dikatakan mungkin akan membuat bantahan susulan penemuan lebihan satu kertas undi sewaktu sesi pengiraan berlangsung petang semalam.
Mengulas perkara itu Setiausaha Kerja UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man menjelaskan, Annuar berhak membuat bantahan berhubung kejadian tersebut bagi membolehkannya dinilai semula oleh jawatankuasa bantahan di peringkat Pusat.
“Saya difahamkan apa yang berlaku lebih kepada isu teknikal. Salah seorang perwakilan dikatakan telah menerima dua kertas undi bagi jawatan Ketua Bahagian dan menggunakan kedua-dua kertas undian itu untuk mengundi calon pilihannya.
“Maka apabila pengundian dilakukan, terdapat lebihan satu kertas undi. Begitu pun setelah penilaian dibuat oleh jawatankuasa pemilihan, Shaiful Hazizy kemudiannya diisytiharkan pemenang dengan majoriti 10 undi,” katanya.
Tambahnya, isu tersebut dilihat lebih kepada perkara melibatkan teknikal kerana kertas-kertas undi bagi beberapa jawatan dipertandingkan akan dikepilkan bersama, sebelum diserahkan kepada perwakilan.
Katanya disebabkan jawatan dipertandingkan terlalu banyak, mungkin berlaku kesilapan manusia apabila kertas undi bagi jawatan Ketua Bahagian itu diletakkan secara bertindih, tanpa disedari.
“Jadi dalam hal ini, mungkin terdapat ‘human error’ menyebabkan perwakilan itu menerima dua kertas undi untuk jawatan tersebut.
Perwakilan itu pula sepatutnya mengembalikan lebihan kertas itu kepada jawatankuasa pemilihan tetapi dia mengisi kedua-duanya untuk dimasukkan dalam kotak pengundian.
“Sebab itulah berlaku lebihan satu kertas undi sewaktu pengiraan dijalankan. Setakat ini pemenang jawatan tersebut memang sudah diumumkan tetapi seperti saya nyatakan tadi, mana-mana calon tidak berpuas hati berhak membuat bantahan,” katanya.
Leave a Reply