SEORANG wartawan veteran menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bergerak ke hadapan dan fokus menjadi Perdana Menteri yang berdedikasi.
Datuk A. Kadir Jasin dalam catatan menerusi Facebook miliknya berkata, Anwar kini berada dalam kedudukan ‘sangat berkuasa’, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Anwar juga mempunyai bidang kuasa ke atas Wilayah Persekutuan, hal ehwal agama dan hal undang-undang, merujuk kepada portfolio bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Jadi, ‘let’s make it happen’. Bergeraklah ke hadapan sebagai perdana menteri yang berdedikasi,” kata bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Kadir berkata, selepas lebih 100 hari Anwar memegang jawatan tertinggi negara itu, nampaknya beliau masih ‘terperangkap dalam lipatan masa dengan beban masa lampau’ seperti yang dapat dilihat daripada ucapannya.
“Semua kita, tidak kira mulia atau hina, tinggi atau rendah, ada cerita. Tetapi ramai tidak ada masa, kedudukan dan saluran untuk bernostalgia dan bermegah-megah dengan parut di dahi dan calar di hati,” katanya sambil meminta Anwar melupakan permusuhan lalu.
Tambahnya, Anwar boleh terus bercerita tentang ‘derita hari-hari perjuangannya’, tetapi bagi rakyat, ini tidak ‘menghidangkan makanan dan membayar tambang bas sekolah anak’, lapor FMT.
Semalam, media melaporkan Anwar menyindir pihak yang mendakwa kononnya orang Melayu semakin ditindas dan hilang kuasa bawah pentadbiran kerajaan perpaduan.
Tanpa menamakan pihak itu, Anwar dipercayai merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menurutnya, tidak memperjuangkan nasib orang Melayu ketika menjadi Perdana Menteri, sebaliknya hanya mengayakan diri dan keluarganya.
Leave a Reply