UMNO Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) negeri itu bagi membincangkan gerak kerja dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaik sahaja pemilihan parti tersebut di peringkat Bahagian dan Pusat selesai.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, buat masa ini, Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang belum mengadakan pertemuan rasmi dengan PH meskipun kedua-dua parti telah mendapat arahan rasmi untuk memulakan rundingan daripada Pusat.
Ujar beliau, meskipun kedua-dua parti bakal mengadakan kerjasama dalam PRN negeri itu kelak, namun ia adalah atas dasar Kerajaan Perpaduan yang terbina ketika ini dan BN tetap akan bertanding atas tiket serta logo parti itu sendiri.
“Arahan sudah ada untuk kita bincang bersama PH Pulau Pinang dan kita akan bincang berkenaan pengagihan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu terlebih dahulu khususnya dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Berkenaan perkara lain (termasuk pengahihan baki kerusi DUN melibatkan kedua-dua parti komponen BN dan PH) akan dibincang pada pertemuan seterusnya,” katanya.
Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.
Dalam pada itu, ditanya berhubung penerimaan pengundi terhadap kerjasama pertama kali BN dan PH pada PRN Pulau Pinang kelak, Musa berkata, kerjasama kedua-dua parti tersebut hanyalah bermatlamat untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan yang stabil dari sudut ekonomi dan politik dalam negara.
“Tentang parti, kita tidak bergabung dengan PH, cuma soal kerjasama untuk berdepan pilihan raya itu memang ada.
“Kita akan bertolak ansur, yang mana kerusi PH bertanding kita tidak akan bertanding, kita pun berharap mana-mana kerusi yang kita tanding, PH tidak akan bertanding.
“Sebab kalau kita mahu lawan tiga penjuru sudah pasti kita (PH dan BN) akan kalah. Jadi kerjasama ini lebih kepada tolak ansur sebab kita mahu tubuh Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Leave a Reply