Remaja tembak ibu sendiri sebelum bunuh 2 anggota polis

SEORANG remaja 16 tahun dilapor menembak ibunya sebelum membunuh dua anggota polis yang tiba di kediaman mereka di Edmonton, Kanada.

Ketua Polis Edmonton, Dale McFee berkata, kedua-dua anggota polis itu ditembak ketika mereka tiba di sebuah bangunan pangsapuri selepas menerima panggilan berhubung pertelingkahan domestik pada pukul 12.47 tengah malam, awal Khamis.

Pasukan polis yang dikerah ke apartmen itu kemudian menemukan mayat suspek remaja itu dengan kesan tembakan yang dipercayai dilakukannya sendiri.

Suspek tidak dinamakan kerana masih berada di bawah umur.

Ibu suspek dilapor dalam keadaan kritikal ketika dibawa ke hospital namun kini berada dalam keadaan stabil.

Anggota polis yang terkorban dikenal pasti sebagai Travis Jordan, 35, yang telah berkhidmat dengan pasukan Edmonton selama lebih 8 tahun, dan Brett Ryan, 30, yang berkhidmat lebih 5 tahun.

“Ini adalah hari yang sangat tragis bagi Perkhidmatan Polis Edmonton dan bandar ini.

“Anggota polis ini berkorban nyawa ketika cuba melindungi komuniti di sini.

“Pengorbanan mereka tidak akan dilupakan,” kata McFee dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

Tiada kenyataan lanjut berhubung tindakan dilakukan suspek dan polis masih menyiasat punca kejadian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *