Remaja maut motosikal ditunggang laju rempuh belakang Perodua Kancil

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut apabila motosikalnya yang dipercayai ditunggang laju, merempuh belakang sebuah kereta di jenis Perodua Kancil di Kilometer 83 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), menghala arah utara awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.55 pagi ketika cuaca berada dalam keadaan baik serta jalan lengang dan cerah dengan bantuan lampu jalan.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua kenderaan tersebut bergerak di lorong kiri dari arah Plaza Tol Sungai Petani menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa dengan laju gagal mengelak kereta Perodua Kancil tersebut di bahagian belakang sebelah kiri.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan motosikal berkenaan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang tepi jalan,” katanya.

Akibat kemalangan itu katanya, mangsa yang tidak bekerja dan berasal dari Taman Keladi, Sungai Petani maut di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala.

“Pemandu serta penumpang kereta itu yang kedua-duanya lelaki, bekerja sebagai mekanik kereta dan berusia 38 serta 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambahnya siasatan awal setakat ini menunjukkan kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang menunggang laju hingga melanggar kereta tersebut.

“Kejadian itu bagaimanapun masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *