PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan tidak akan menamakan siapa individu dijadikan ‘poster boy’ dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari berkata, perkara berkenaan dimuktamad dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Bersatu (MPT), sebelum ini.
Selain itu katanya, tiga nama disebut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini juga bukan calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya menawan Selangor dalam PRN nanti.
Selain Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, dua lagi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
“Kami bertiga sudah bersetuju dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU supaya tidak ada ‘poster boy’ di Selangor,” katanya.
Mengulas tiga nama disebut Muhyiddin itu, katanya, mereka bertiga diberikan tanggungjawab oleh Pengerusi PN untuk memperkukuhkan parti bagi mendepani PRN nanti.
“Bukan (calon Menteri Besar Selangor)…sebenarnya apabila Tan Sri Muhyiddin sebut tiga nama kami, ia adalah untuk persediaan PRN Selangor.
“Tan Sri (Muhyiddin) melantik Dr Radzi sebagai Koordinator (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin sebagai Pengerusi PN dan saya sebagai Pengerusi Bersatu Selangor.
“Jadi arahan Tan Sri (Muhyiddin) supaya kita bertiga ini bersama-sama untuk menguatkan parti dan juga membuat persiapan PRN,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan pemimpin dari Bersatu akan dipilih sebagai Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan sekiranya PN berjaya menawan dua negeri itu dalam PRN tidak lama lagi.
Berhubung agihan kerusi bersama parti komponen iaitu Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bagi PRN nanti, Abdul Rashid berkata, ketika ini ia sudah 60 peratus selesai.
“Ada sasaran kerusi, tetapi keputusan akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pusat…kita di Selangor akan cadangkan agihan kerusi dan calon, keputusan muktamad oleh Pusat,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu beliau membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.
Laporan polis secara serentak oleh semua 22 Bahagian Bersatu di Selangor berkaitan fitnah dan penganiayaan terhadap Muhyiddin dan Bersatu.
Leave a Reply