Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SULTAN Johor bertitah, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di negeri ini akan dipecat, jika membenarkan penceramah tanpa tauliah memberikan ceramah di negeri tersebut.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan mana-mana penceramah yang hendak menyampaikan ceramah di negeri perlu memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Semua ahli jawatankuasa masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama wajib mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui Pejabat Kadi Daerah.
“Mereka perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan.
“Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua ahli jawatankuasa masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat,” titahnya.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.
Pada 8 Mac lalu, MAINJ akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, tindakan juga akan diambil terhadap penganjur acara atau program berkenaan yang dianggap sebagai bersubahat.
Titah Sultan Johor, tindakan tersebut bukan untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi adalah untuk kawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri itu.
Sultan Ibrahim bertitah, keadaan itu juga untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.
“Sehubungan itu juga, kerajaan harus meningkat mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titahnya.
Leave a Reply